BESUT – Seluruh jentera dan petugas PAS diingatkan agar tidak leka mahupun mendabik dada dengan kemenangan mutlak yang dicapai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu, sebagai persediaan utama bagi menghadapi cabaran pilihan raya akan datang.
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato’ Husain Awang berkata, setiap petugas parti perlu sentiasa bermuhasabah dan mengambil pengajaran daripada sejarah bagi mengelakkan berlakunya kemerosotan sokongan akibat kealpaan dalam menguruskan kemenangan.
“Jangan kita terpedaya dengan angka yang pernah kita capai. Marilah kita ambil pengajaran daripada pengalaman yang kita lalui,” tegas beliau semasa menyampaikan amanat khas dalam satu majlis gilang-gemilang yang diadakan di sini, para Jumaat.


Menurut beliau, sejarah politik lalu membuktikan bahawa kebanggaan yang berlebihan boleh menterbalikkan sokongan rakyat sekelip mata sekiranya parti mula diresapi konflik dalaman (tanazu’), hilang ketaatan kepada pimpinan, serta beralih matlamat kepada kepentingan duniawi.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh saf kepimpinan dan jentera parti di peringkat cawangan supaya memperkemas gerak kerja, meningkatkan program menyantuni anak muda, dan memperkukuh ketahanan rohani menerusi usrah serta munajat.
Peringatan tersebut disampaikan beliau dalam Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya DUN Kota Putera yang disempurnakan secara rasmi oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, YB Ustaz Ahmad Fadhli bin Shaari.


Majlis penuh bersemangat itu turut menyaksikan acara simbolik penyerahan panji perjuangan kepada wakil-wakil jentera, disusuli dengan bacaan ikrar taat setia oleh ratusan petugas yang hadirsebagai kesiapsiagaan mempertahankan kemenangan parti.
Turut hadir memberikan taklimat kesediaan logistik dan kewangan ialah Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) DUN Kota Putera merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, YB Hj Nurkhuzaini Ab Rahman.































