KUALA TERENGGANU – PAS masih belum membuat keputusan berkaitan strategi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana parti itu masih meneliti laporan dan taklimat daripada PAS Johor.
Presiden PAS, Dato Sri Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, perkara tersebut akan dibincangkan selepss mesyuarat PAS Pusat yang dijadualkan pada Rabu depan.
“Selepas mesyuarat hari Rabu, kita akan bincang dan buat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas kuliah dhuha mingguan hari ini.
Mengulas kedudukan PN, beliau menjelaskan Bersatu masih merupakan ahli gabungan tersebut namun hubungan PAS dengan parti itu telah berakhir.
“Kita sebagai pengerusi, Bersatu masih ahli dan kita sudah putus dengan Bersatu. Ada dua parti lagi, terpulang kepada mereka sama ada mahu menyokong kita atau Bersatu,” katanya.
Ustaz Abdul Hadi turut mendakwa Bersatu sebelum ini tidak bersetuju dengan cadangan kemasukan beberapa parti dan pertubuhan lain ke dalam PN.
“Kita sudah kemukakan nama-nama ini. Kita setuju, tetapi Bersatu tidak setuju. Mereka mahu kumpulan ini berada di luar sebagai penyokong sahaja,” ujarnya.
Beliau menambah antara pihak yang terlibat ialah Parti Pejuang, Parti Berjasa, pertubuhan imam dan MIC.
Menurutnya lagi, PAS mahu menghimpunkan lebih ramai pihak termasuk orang Melayu Islam dan bukan Islam yang sederhana bagi memperkukuhkan kerjasama politik pada masa hadapan.
Beliau bagaimanapun meminta semua pihak menunggu keputusan rasmi yang akan dibuat selepas mesyuarat PAS Pusat minggu depan.




























