PAS Buka Lembaran Baharu Demi Penyatuan Ummah

36
Dr.PTengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi,

KUALA TERENGGANU – Keputusan PAS menamatkan hubungan dengan BERSATU bukan sekadar penutupan satu episod kerjasama politik, sebaliknya membuka lembaran baharu ke arah memperkukuhkan agenda Penyatuan Ummah dan masa depan politik negara.

Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Malaysia, YB Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi, berkata ramai pihak masih tertumpu kepada isu pemutusan hubungan dengan Bersatu sedangkan perkara yang lebih besar ialah hala tuju baharu yang sedang dirangka oleh PAS.

Menurut beliau, PAS kini membuka ruang lebih luas untuk meneroka persefahaman politik dan pakatan pilihan raya yang mampu menyatukan kekuatan umat Islam serta mengelakkan perpecahan yang merugikan.

“PAS bukan sekadar menutup satu pintu, tetapi sedang membuka beberapa pintu yang lebih luas demi agenda Penyatuan Ummah dan masa depan negara,” ujarnya dalam media sosialnya, hari ini.

Beliau menjelaskan, PAS juga bersedia bekerjasama dengan tokoh akademik, golongan profesional, pemimpin politik dan aktivis masyarakat bagi memperkukuhkan perjuangan serta membawa pendekatan yang lebih inklusif.

Katanya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan menjadi ujian penting terhadap pendekatan tersebut memandangkan perubahan demografi pengundi dan pertambahan pengundi baharu berpotensi mengubah landskap politik negeri itu.

“Dalam keadaan ini, pertembungan sesama parti Melayu-Islam hanya akan menguntungkan pihak lain. PAS melihat lebih jauh daripada satu pilihan raya dan mengambil kira kesan perpecahan politik Melayu-Islam selepas PRU15,” ujarnya.

Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, keputusan yang diambil mungkin tidak disenangi semua pihak, namun PAS memilih untuk meletakkan kepentingan umat dan masa depan negara mengatasi pertimbangan politik jangka pendek.

Beliau turut mempersoalkan sama ada pihak lain mempunyai keberanian politik yang sama untuk menjayakan agenda penyatuan tersebut.

“Rakyat akhirnya akan menilai bukan siapa yang paling kuat bercakap mengenai penyatuan, tetapi siapa yang benar-benar sanggup berkorban demi menjayakannya,” katanya.