DHPP Sokong Keputusan PAS, Tegaskan Keutamaan Kestabilan Politik dan Kepentingan Rakyat

44
Dr Balachandran Gopal Krishnan

KUALA TERENGGANU – Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) menyokong keputusan kepimpinan PAS berhubung hala tuju kerjasama politik parti dan menegaskan kepentingan mengekalkan kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat.

Ketua Penerangan Dewan Himpunan PAS Pusat (DHPP) Pusat, Dr. Balachandran Gopal Krishnan berkata, keputusan tersebut wajar dihormati kerana setiap kerjasama politik perlu dinilai secara berkala berdasarkan keserasian matlamat, hala tuju perjuangan dan keupayaannya membawa manfaat yang lebih besar kepada rakyat serta negara.

Menurut beliau, PAS telah menunjukkan keberanian untuk membuat keputusan sukar demi memastikan perjuangan parti terus bergerak secara jelas, konsisten dan berteraskan prinsip yang ditetapkan.

“Kadangkala kestabilan jangka panjang memerlukan keputusan yang sukar dibuat pada hari ini.

“Apa yang lebih penting ialah PAS tidak pernah berganjak daripada komitmennya untuk melihat wujudnya kesatuan, kestabilan politik dan pentadbiran yang berintegriti,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Dr Bala menambah, prinsip-prinsip tersebut akan terus menjadi panduan utama dalam menentukan sebarang bentuk kerjasama politik pada masa hadapan.

“Sebagai masyarakat majmuk, rakyat Malaysia juga mengharapkan kematangan dalam berpolitik,” kata Dr. Balachandran

Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua pihak mengamalkan politik yang matang dan berhemah dalam menghadapi perbezaan pandangan.

Katanya, perbezaan pendekatan dalam demokrasi adalah perkara biasa, namun ia tidak seharusnya membawa kepada permusuhan yang berpanjangan sehingga menjejaskan usaha membangunkan negara.

“Fokus utama mesti sentiasa kembali kepada usaha membangunkan negara, memperkukuhkan ekonomi serta menjaga kebajikan rakyat,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa DHPP melihat perkembangan tersebut sebagai sebahagian daripada proses politik dinamik dan akan terus memainkan peranan sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat pelbagai kaum dan agama dengan perjuangan PAS.

“Serta menjelaskan bahawa matlamat utama parti adalah untuk membawa pentadbiran yang adil, stabil dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia,” tambah beliau.

Menurutnya, walau apa jua perubahan landskap politik yang berlaku, nilai integriti, prinsip dan keikhlasan dalam berkhidmat kepada rakyat mesti terus menjadi keutamaan.