KUALA TERENGGANU – PAS Kawasan Setiu menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang menetapkan hala tuju baharu kerjasama politik parti, termasuk menamatkan kerjasama politik dengan BERSATU.
Ketua Penerangan PAS Kawasan Setiu, Ustaz Abdul Hadi Muhammad berkata, keputusan tersebut dibuat melalui penelitian yang mendalam berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap kedudukan serta masa depan kerjasama politik antara PAS dan BERSATU.
Menurut beliau, langkah itu membuktikan setiap keputusan yang dibuat oleh parti adalah berasaskan pertimbangan yang matang, strategik dan mengambil kira kepentingan Islam, ummah serta perjuangan parti.
“Saya menghormati dan menyokong keputusan PAS untuk menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU setelah melalui proses syura dan pertimbangan yang teliti.
“Sebagai ahli dan pimpinan parti di peringkat kawasan, saya bersedia untuk akur serta melaksanakan segala arahan dan keputusan yang telah diputuskan oleh kepimpinan tertinggi parti,” jelasnya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau turut menyambut baik langkah PAS meneroka bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya yang baharu bagi memperkukuhkan agenda penyatuan ummah serta memperkasakan kekuatan politik Islam dan Melayu.
Katanya, pendekatan tersebut memperlihatkan keterbukaan PAS dalam membina kerjasama strategik yang mampu memastikan kepentingan rakyat terus terpelihara menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Dalam masa sama, beliau menegaskan seluruh saf kepimpinan dan ahli PAS Kawasan Setiu akan terus istiqamah memperkukuhkan gerak kerja parti di semua peringkat.
“Serta memberikan komitmen penuh terhadap segala keputusan dan arahan yang ditetapkan oleh PAS Pusat,” tambah beliau.





























