Tegas Perjuang Penyatuan Ummah, Sedia Hadapi Pilihan Raya Bila-bila Masa

93

KUALA TERENGGANU – PAS tegas terus memperjuangkan penyatuan ummah dan kekal bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pembubaran pilihan raya pada bila-bila masa.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, perkembangan politik semasa termasuk pembubaran beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) di beberapa negeri menunjukkan landskap politik negara berada dalam keadaan tidak menentu dan memerlukan kesiapsiagaan semua pihak.

“Kalau bubar esok, esok kita bekerja. Kalau sebulan, sebulan kita bekerja. Kalau tiga tahun, tiga tahun kita tetap bekerja,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika nerucap dalam program HIMPIT di Pantai Air Tawar, Besut, semalam.

Afnan menegaskan PAS bukan parti yang bergerak hanya ketika musim pilihan raya, sebaliknya berasaskan perjuangan dakwah, kebajikan masyarakat serta prinsip amar makruf nahi mungkar.

Beliau turut menyatakan ahli PAS kekal komited melaksanakan program parti walaupun menggunakan perbelanjaan sendiri dan tanpa imbuhan.

Menurutnya, kekuatan PAS terletak pada disiplin organisasi dan kepatuhan ahli kepada keputusan kepimpinan, termasuk dalam aspek kerjasama politik.

“Pengalaman PAS bersama beberapa gabungan politik sebelum ini seperti Pakatan Rakyat, Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional sebagai bukti pendekatan politik berasaskan keputusan kolektif parti,” ujarnya.

Afnan menegaskan agenda utama PAS sejak penubuhan pada tahun 1951 ialah memperjuangkan penyatuan umat Islam serta memperkukuh kekuatan politik orang Melayu-Islam.

Katanya, kerjasama politik antara parti-parti berkaitan sebelum ini turut dilihat sebagai usaha merapatkan hubungan dan mengurangkan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Dalam masa sama, beliau turut mengkritik beberapa dasar kerajaan semasa yang didakwa memberi kesan kepada sensitiviti umat Islam, termasuk isu tulisan Jawi, premis perjudian, sijil halal serta penganjuran acara hiburan.

Beliau mendakwa terdapat usaha untuk melemahkan kesatuan politik umat Islam, namun perkara itu perlu ditangani melalui penyatuan dan kekuatan dalaman.

Afnan menegaskan PAS akan terus kekal dengan agenda asalnya iaitu mengangkat Islam, menyatukan umat serta memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan pilihan raya pada bila-bila masa.

“Agenda kita tidak berubah sejak dahulu hingga sekarang,” katanya.