KUALA TERENGGANU – Dewan Ulama PAS Terengganu menegaskan pendiriannya bahawa perjuangan DAP dilihat bertentangan dengan prinsip Islam, kedudukan Melayu dan kerangka kenegaraan Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Dr Wan Mat Sulaiman berkata, dasar sekular yang dibawa oleh DAP dilihat bercanggah dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan usaha memperkukuhkan nilai Islam dalam pentadbiran negara.
Menurutnya, perjuangan parti itu juga dilihat memperjuangkan konsep kesamarataan boleh ditafsirkan sebagai menjejaskan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera yang dilindungi di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
“Dasar ‘Malaysian Malaysia’ yang diperjuangkan DAP turut dilihat berpotensi menghakis dominasi politik Melayu dan peranan institusi Raja-Raja Melayu serta Islam dalam sistem kenegaraan Malaysia,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, beberapa isu semasa yang dikaitkan dengan DAP seperti tuntutan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), isu penternakan babi di Selangor dan penggunaan kad khas dalam bahasa Cina dilihat sebagai cerminan kepada dasar perjuangan parti berkenaan.
Dr Wan Mat turut menjelaskan bahawa pengalaman PAS ketika menjalinkan kerjasama politik dengan DAP sebelum ini menjadi bukti wujudnya perbezaan dasar yang sukar diselaraskan.
“DAP tidak bersetuju dengan beberapa dasar perjuangan Islam yang dibawa PAS, sekali gus menyebabkan PAS mengambil keputusan meninggalkan gabungan tersebut demi mempertahankan prinsip dan dasar perjuangannya,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa pendirian PAS terhadap DAP adalah berasaskan perbezaan prinsip perjuangan serta dasar politik, bukannya sentimen perkauman atau kebencian terhadap mana-mana kaum.






























