Tolak DAP Kerana Dasar, Bukan Kerana Benci – Alex Chan

43
Alex Chan Foo Yew

KUALA TERENGGANU – Sokongan atau penolakan terhadap sesebuah parti politik tidak semestinya berpunca daripada kebencian, sebaliknya merupakan hak individu untuk memilih perjuangan yang selari dengan prinsip dan keyakinan mereka dalam sistem demokrasi.

Penolong Setiausaha III, Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, Alex Chan Foo Yew berkata, beliau tidak menyokong DAP bukan kerana membenci parti tersebut, tetapi kerana lebih bersetuju dengan dasar dan hala tuju yang diperjuangkan oleh PAS.

Menurutnya, setiap parti politik mempunyai hak untuk membawa perjuangan masing-masing dan rakyat pula berhak membuat pilihan berdasarkan keyakinan terhadap dasar yang ditawarkan.

“Saya tidak menyokong DAP kerana saya lebih bersetuju dengan dasar dan hala tuju PAS.

“Bagi saya, PAS membawa pendekatan berteraskan Islam yang menekankan keadilan, integriti, kebajikan dan kesejahteraan untuk seluruh rakyat tanpa mengira kaum atau agama,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, nilai-nilai yang dibawa PAS membuktikan bahawa parti itu tidak hanya memberi manfaat kepada orang Islam semata-mata, malah mengutamakan kesejahteraan seluruh masyarakat dalam negara berbilang kaum dan agama.

Alex turut menegaskan bahawa perbezaan pandangan politik merupakan perkara biasa dalam sebuah negara demokrasi dan tidak sepatutnya menjadi punca perpecahan dalam kalangan rakyat.

“Perbezaan pandangan politik adalah perkara biasa, tetapi kita tetap perlu saling menghormati.

“Yang penting, kita bersaing dengan idea dan dasar, bukan dengan kebencian,” ujarnya.

Justeru itu, beliau berharap budaya politik yang lebih matang, berteraskan hujah, dasar dan rasa hormat antara satu sama lain dapat terus dipupuk demi kepentingan rakyat serta kestabilan negara.