KUALA TERENGGANU – Kejayaan Jabatan PASTI Negeri Terengganu merangkul Anugerah Best Preschool of the Year sempena World School Summit 2026 membuktikan institusi pendidikan awal kanak-kanak berteraskan Islam mampu bersaing dan mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Pengarah Jabatan PASTI Negeri Terengganu, Fauzi Mahammad berkata, pencapaian itu menunjukkan pendekatan pendidikan yang menggabungkan kecemerlangan akademik, pembentukan sahsiah dan penguasaan Al-Quran terus mendapat perhatian masyarakat global.
Menurut beliau, pengiktirafan tersebut menjadi petunjuk bahawa pendidikan Islam tidak lagi dilihat sebagai sistem alternatif semata-mata, sebaliknya berupaya menjadi model pendidikan berkualiti yang memenuhi keperluan semasa.
“Anugerah yang diterima bukanlah kejayaan individu, tetapi hasil usaha kolektif seluruh warga PASTI termasuk guru-guru, pengurus, ibu bapa dan komuniti yang sentiasa komited dalam memartabatkan pendidikan awal kanak-kanak Islam,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.


Menurutnya, anugerah tersebut turut menjadi pengesahan terhadap hala tuju yang digariskan menerusi Pelan Strategik PASTI Terengganu 2026–2030.
“Pelan ini memberi fokus kepada pembangunan profesional guru, transformasi digital, kecemerlangan al-Quran dan akademik serta pengukuhan tadbir urus organisasi,” ujarnya.
Beliau berkata, kejayaan itu juga memberi motivasi kepada seluruh warga pendidikan Islam untuk terus melakukan penambahbaikan dan inovasi dalam memastikan institusi pendidikan kekal relevan dengan perkembangan semasa.
“Kami melihat anugerah ini bukan sebagai noktah kejayaan, tetapi amanah untuk terus mempertingkatkan mutu pendidikan dan melahirkan lebih ramai generasi celik Al-Quran yang mampu menyumbang kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.
Tambahnya, PASTI Terengganu akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan yang seimbang dari segi ilmu, akhlak dan penghayatan agama bagi melahirkan generasi yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
Katanya lagi, kejayaan tersebut sekali gus mengharumkan nama Terengganu dan memperkukuhkan kedudukan PASTI sebagai antara institusi pendidikan awal kanak-kanak Islam yang cemerlang di rantau ini.



























