Oleh ; Musfirah
KUALA TERENGGANU, 31 Mei – Sebanyak 17 ekor lembu telah dikorbankan dalam Program Qurban Perdana DUN Bandar pada tahun ini yang berlangsung di Padang Bola Kampung Losong Haji Mamat hari ini hasil kerjasama erat masyarakat setempat dan pelbagai pihak yang terlibat.
Ketua Penerangan PAS Kawasan Kuala Terengganu, Ahmad Shah Mohamed berkata, program tersebut bukan sahaja bertujuan melaksanakan ibadah korban sempena Aidiladha, malah menjadi medium memperkukuhkan ukhuwah serta memupuk semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, ibadah korban mengajar umat Islam mengenai nilai keikhlasan, pengorbanan dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan, selaras dengan tuntutan syariat Islam.


Beliau yang juga ADUN Bandar berkata, daging korban yang diperoleh daripada program tersebut akan diagihkan kepada komuniti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh DUN Bandar bagi memastikan lebih ramai penduduk menerima manfaat daripada ibadah korban yang dilaksanakan.
“Program seperti ini menjadi platform terbaik untuk mengeratkan hubungan masyarakat serta menyemarakkan budaya kebajikan dan sukarelawan dalam kalangan penduduk,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua wakil JPKK, anak-anak muda Kampung Losong Haji Mamat serta kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bandar yang bertungkus-lumus menjayakan program tersebut dari peringkat persiapan sehingga selesai.


Katanya, komitmen dan kerjasama yang ditunjukkan mencerminkan semangat kebersamaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat setempat dan wajar diteruskan pada masa akan datang.
Program yang bermula seawal jam 7 pagi itu berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh semangat kekeluargaan, sekali gus menyemarakkan penghayatan terhadap ibadah korban sempena Aidiladha.
Beliau berharap ibadah korban yang dilaksanakan diterima Allah SWT serta segala amal kebajikan dan sumbangan yang dicurahkan oleh para peserta dan sukarelawan dikurniakan ganjaran pahala yang berlipat ganda.



























