Penduduk Palestine Keluar Mengundi

993
http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita7/paetine%20undi.jpg

Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, dan gerakan Fatah pimpinannya berharap pilihan raya semalam di 93 kawasan undi akan meningkatkan semula populariti parti itu yang semakin berkurangan.

Sekitar 515,000 pengundi berdaftar layak membuang undi dan keputusan pilihan raya dijangkakan dibuat hari ini.

Mereka dijangka membuang undi di sekitar 340 pusat membuang undi di serata Tebing Barat yang dibuka sejak tujuh pagi (waktu tempatan) dan akan terus dibuka selama 12 jam, nyata Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat (CEC).

Kali terakhir warga Palestin mengundi adalah pada Januari 2006 bagi pilihan raya umum yang dimenangi gerakan Islamis, Hamas, yang kini mentadbir Jaluran Gaza.

Namun, terdapat sikap acuh tidak acuh yang meluas dalam kalangan pengundi.

Ini sebahagiannya disebabkan tindakan pesaing utama Fatah, kumpulan militan Hamas, mahu memboikot pilihan raya di Tebing Barat itu.

Malah, Hamas juga melarang pilihan raya diadakan di Gaza, wilayah pentadbirannya yang dirampas daripada Encik Abbas pada 2007.

Hamas tidak mahu mengambil bahagian dalam pilihan raya tempatan itu kerana pertelingkahan berlanjutan antara kumpulan itu dengan Presiden Abbas.

Pilihan raya tempatan kali terakhir diadakan pada 2005.

Pilihan raya lama yang tertangguh itu diadakan di hanya 91 daripada 353 kawasan perbandaran Tebing Barat.

Di 181 kawasan lain, calon-calon dilantik tanpa bertanding sementara pilihan raya akan diadakan di 81 kawasan lain pada 24 November ini, kata CEC.

Menurut CEC, pihaknya mentauliahkan 1,890 pemerhati tempatan dan 130 pemerhati antarabangsa untuk mengawasi pilihan raya itu.

Pilihan raya kali ini melibatkan 4,696 calon – hampir 25 peratus daripadanya calon wanita – yang bertanding dalam 322 senarai dan 1,064 kerusi majlis perbandaran tempatan. – AP, AFP.