MTT Semarak Syiar Aidiladha Dengan Korban 30 Ekor Lembu

92

KUALA TERENGGANU – Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT) menyemarakkan sambutan Aidiladha tahun ini dengan pelaksanaan ibadah korban melibatkan sebanyak 30 ekor lembu secara bergotong-royong bersama masyarakat setempat.

Mudirnya, Ustaz Muzaihar Kamal Mustafa Kamal berkata, program korban tahun ini berlangsung meriah hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk pihak maahad, masjid, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta UDM Tok Jiring.

Menurut beliau, pada hari pertama Aidiladha, sebanyak 15 ekor lembu disembelih sebagai permulaan program korban yang diadakan secara tahunan di institusi berkenaan.

“Alhamdulillah, program korban tahun ini mendapat sambutan yang sangat baik daripada masyarakat.

“Kita laksanakan secara gotong-royong bersama masyarakat, pihak maahad, masjid serta agensi setempat bagi menghidupkan syiar Aidiladha,” katanya ketika ditemui pada program korban di MTT, semalam.

Beliau turut memaklumkan pihak maahad menyediakan tiga kategori penyertaan korban bagi memudahkan orang ramai mengambil bahagian mengikut kemampuan masing-masing.

Katanya, kategori tersebut melibatkan bahagian lembu besar berharga RM1,000, lembu sederhana RM750 dan lembu kecil RM550 bagi satu bahagian.

Selain itu, MTT turut menyediakan penyertaan korban kambing bagi menambah peluang kepada masyarakat menyertai ibadah tersebut.

Beliau dalam masa sama merakamkan penghargaan kepada semua peserta dan penyumbang yang terus memberi sokongan kepada program korban anjuran MTT setiap tahun.

“Terima kasih kepada semua yang turut serta memberi sokongan kepada MTT dan bersama-sama menyemarakkan syiar Aidiladha bagi umat Islam,” ujarnya.