Oleh : Siti Sopiah
HULU TERENGGANU – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kini secara rasminya merupakan parti politik terbesar di Malaysia berdasarkan jumlah perwakilan di Parlimen dan fakta tersebut seharusnya menjadi pemangkin semangat buat seluruh jentera untuk terus istiqamah mendepani cabaran Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Naib Presiden PAS, YB Dato’ Sri Amar D’raja Dr. Mohd Amar Abdullah berkata, kedudukan PAS dengan 43 wakil di Dewan Rakyat mengatasi parti-parti lain termasuk DAP, selain diperkukuhkan dengan hampir 200 ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara.
Dalam ucapannya, Dr. Mohd Amar menegaskan, teras utama perjuangan PAS tidak pernah berubah iaitu untuk mendaulatkan Islam, memperkasakan dakwah, serta membangkitkan kesedaran ummah.
“Setiap tindakan politik yang kita ambil, sama ada untuk bekerjasama atau menentang parti lain seperti UMNO, semuanya berlandaskan matlamat mendaulatkan agama.
“Kita bergerak atas konsep al-hubbu fillah wal-bughdu fillah, berkasih sayang atau berbalah semata-mata kerana Allah, bukannya mengikut selera peribadi atau dendam politik,” tegas beliau yang juga Yang Dipertua DUN Kelantan.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS PRU-16 DUN Ajil serta Mesyuarat Agung Berkelompok Cawangan-Cawangan PAS DUN Ajil yang berlangsung dengan penuh semangat di Dewan Sivik Pekan Ajil, pada 5 Mei.
Mengulas mengenai strategi parti, beliau menjelaskan bahawa kekuatan PAS hari ini adalah hasil daripada keberkesanan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang dicetuskan oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Menurut beliau, walaupun pada peringkat awal strategi BPMS ini sering disalahertikan dan dianggap sebagai cubaan PAS untuk menyertai UMNO, namun realiti hari ini membuktikan ia adalah strategi politik yang sangat ampuh dalam menyatukan sokongan rakyat.
Menyentuh mengenai senario politik di Terengganu, Dr. Mohd Amar menyifatkan kemenangan dengan majoriti besar sehingga 6,000 undi di sesetengah tempat dalam pilihan raya lalu adalah bukti penghijrahan sokongan besar-besaran daripada ahli UMNO sendiri.
“Ahli-ahli UMNO kini berada dalam fasa kekecewaan terhadap pemimpin mereka. Mereka melihat UMNO kini sudah tidak tumpah seperti DAP di dalam kerajaan.


“Kesedaran inilah yang membawa kepada undi protes dan penghijrahan sokongan kepada PAS sebagai wadah alternatif untuk membela nasib umat Melayu-Islam,” katanya lagi.
Beliau turut menitipkan pesanan agar seluruh jentera di peringkat cawangan terus mengekalkan momentum kerja keras dan tidak mudah berputus asa walaupun berdepan dengan pelbagai tekanan dan kesusahan.
“Kita perlu contohi perkembangan sokongan di Sabah. Walaupun jauh dan penuh cabaran, sokongan rakyat di sana tetap menunjukkan peningkatan. Ini membuktikan bahawa jika kita istiqamah (teguh pendirian), Allah akan buka jalan kemenangan.
“Pastikan jentera di DUN Ajil sentiasa bersiap siaga. Kita bukan sahaja mahu menang, tetapi mahu memastikan mandat yang diberikan rakyat digunakan sebaiknya untuk kelangsungan dakwah Islamiah,” ulas beliau.
































