Apakah Tujuan Membenarkan Pangkalan Tentera Asing Di Bumi Arab

80

Wujudnya pangkalan tentera asing daripada negara penjajah di bumi Arab sebagai pangkalan hadapan dunia Islam adalah kesalahan besar terhadap Islam dan umatnya.

Pangkalan tentera itu diizinkan kepada negara yang terlibat dalam Perang Salib terhadap Islam selama beberapa abad sehingga menjatuhkan khilafah, negara kuasa besar Islam yang melindungi dunia Islam seluruhnya. Walaupun khilafah ada kelemahannya sendiri, akibat kejatuhannya, tanah air Islam dijajah sepenuhnya, umatnya dipecahbelahkan dan diperhambakan, serta hasil buminya dirompak dan dicuri. Akhirnya, berlaku amaran Rasulullah SAW:

يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا.

“Hampir tiba masanya (musuh-musuh Islam daripada) berbagai-bagai bangsa mengepung kalian laksana mereka yang mengelilingi hidangan makanan yang lazat (mencubit, menggigit, dan menelan dengan rakus).”

فَقَالَ قَائِلٌ: وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ؟

Ada yang bertanya, “Adakah jumlah kita (umat Islam) terlalu sedikit pada masa itu?”

قَالَ: بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ، وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ، وَلَيَنْزِعَنَّ اللهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ، وَلَيَقْذِفَنَّ اللهُ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهْنَ.

Baginda menjawab, “Bahkan kalian ramai, namun kalian laksana banyaknya sampah sarap dan buih yang dihanyutkan air banjir. Allah menghilangkan rasa kehebatan (ketakutan) musuh terhadap kalian (umat Islam) dan Allah mencampakkan penyakit al-wahan (hina) dalam diri kalian (umat Islam).”

فَقَالَ قَائِلٌ: يَا رَسُولَ اللهِ، ‌وَمَا ‌الْوَهْنَ؟ قَالَ: حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ.

Ada yang bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah maksud penyakit al-wahan itu?” Baginda menjawab, “Terlalu kasih akan kemewahan dunia dan takut akan kematian.” [Hadis riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Malahim, no. 4297 dan Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Ansar, no. 22397, daripada Thauban bin Bujdud]

Itulah pengaruh gila terhadap harta dan takhta sehingga bergelumang dengan dosa, menjadi penakut akibat dosa, serta berpecah belah dan berperang saudara. Sehinggakan, sanggup menjemput musuh bagi merosakkan umat dan tanah air sendiri. Akhirnya, menjatuhkan Kerajaan ‘Uthmaniyyah (kuasa besar Islam) yang menaungi tanah air dan umat Islam.

Akibatnya, umat Islam dipecahbelahkan, dijajah, dan dibahagikan tanah air mereka bawah taklukan negara penjajah, seterusnya ditadbir oleh penjajah dengan ajaran sesat yang membatalkan kewajipan politik mentadbir negara dan umat dengan petunjuk Islam yang sempurna daripada Allah.

Para pemimpin kabilah Arab yang menyokong Barat mendapat habuan takhta dan harta untuk memerintah negara bawah pengaruh Barat yang menang menjatuhkan khilafah, serta menjadikan kemenangannya sebagai hari kebangsaan negara masing-masing. Hasil kekayaannya pula diagihkan untuk syarikat minyak asing setelah mendapat bayaran kekayaan harta dan takhta sambil dilindungi oleh pangkalan tentera asing.

Paling malang, Palestin bumi para anbiya’ dan Bait al-Maqdis ditakluki oleh Zionis, kumpulan Yahudi yang paling zalim. Mereka diizinkan untuk menubuhkan negara Israel yang memperjuangkan pula negara Israel Agung (Greater Israel), kuasa besar yang menakluk dunia.

Israel dibekalkan dengan segala jenis senjata bertali arus, termasuk senjata pemusnah dan teknologinya yang dilarang oleh undang-undang antarabangsa dan dilarang kepada negara serantau.

Adapun negara Arab, tenteranya tidak boleh mengatasi tentera Israel. Cukup dengan pangkalan tentera asing yang membantu menjaga keselamatan telaga minyak dan perjalanan keluarnya, di samping menjaga keselamatan dan keamanan negara haram Israel.

Setiap kali tercetus peperangan, Israel sahaja yang diselamatkan. Negara Arab pula dibiarkan ditakluki oleh Israel bagi meluaskan lagi wilayahnya.

Pendekatan menjadikan pangkalan asing sebagai keselamatan negara Arab melawan pesanan Allah SWT:

وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡيَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمۡۗ قُلۡ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلۡهُدَىٰۗ وَلَئِنِ ٱتَّبَعۡتَ أَهۡوَآءَهُم بَعۡدَ ٱلَّذِي جَآءَكَ مِنَ ٱلۡعِلۡمِ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِيّٖ وَلَا نَصِيرٍ ١٢٠

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan reda kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah, ‘Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar).’ Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” [Surah al-Baqarah: 120]

Musuh itu bukan sahaja tidak boleh menjadi pelindung kepada negara Arab selaku tuan rumahnya, bahkan negara yang mencari perlindungan dengan musuh itu tidak dilindungi Allah, seterusnya menjadi hina dan abdi kepada musuh yang mencuri dan merompak hasil negara serta mengabdikan rakyatnya.

Alasan bagi menjaga keamanan negara rantau itu sangat membodohkan laksana menjadikan serigala menjaga kambing ternakan, yang sebenarnya menunjukkan kehinaan tiada bermaruah.

Umat Islam yang mulia diperintahkan Allah supaya membuat persediaan mempertahankan diri sendiri dan menentang musuh Allah. Firman Allah SWT:

وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعۡلَمُهُمۡۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ ٦٠

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa-apa saja yang kamu sanggupi dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang, (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu serta orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahui mereka; sedangkan Allah mengetahui mereka. Apa-apa saja yang kamu nafkahkan di jalan Allah, nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” [Surah al-Anfal: 60]

Apabila buminya dikurniakan Allah sumber kekayaan hasil sehingga boleh membekalkan seluruh dunia, namun bakhil menyumbang kepada jihad menegakkan Islam serta mempertahankan agama, negara, dan umatnya, maka Allah SWT memberikan amaran:

هَـٰٓأَنتُمۡ هَـٰٓؤُلَآءِ تُدۡعَوۡنَ لِتُنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَمِنكُم مَّن يَبۡخَلُۖ وَمَن يَبۡخَلۡ فَإِنَّمَا يَبۡخَلُ عَن نَّفۡسِهِۦۚ وَٱللَّهُ ٱلۡغَنِيُّ وَأَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُۚ وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم ٣٨

“Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) di jalan Allah, maka antara kamu ada yang bakhil. Dan sesiapa yang bakhil, maka sesungguhnya dia hanyalah bakhil terhadap dirinya sendiri. Dan Allahlah Yang Maha Kaya, sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya); dan jika kamu berpaling, nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.” [Surah Muhammad: 38]

Islam tetap dipelihara Allah bilamana cahayanya tidak boleh dipadamkan, namun kaum yang cuai itu menjadi hina. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَا لَكُمۡ إِذَا قِيلَ لَكُمُ ٱنفِرُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱثَّاقَلۡتُمۡ إِلَى ٱلۡأَرۡضِۚ أَرَضِيتُم بِٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا مِنَ ٱلۡأٓخِرَةِۚ فَمَا مَتَٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا فِي ٱلۡأٓخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ ٣٨ إِلَّا تَنفِرُواْ يُعَذِّبۡكُمۡ عَذَابًا أَلِيمٗا وَيَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيۡـٔٗاۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ٣٩

“Wahai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepadamu, ‘Berangkatlah (untuk berperang) di jalan Allah,’ kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Adakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal keni‘matan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit. (38) Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah menyeksa kamu dengan seksaan yang pedih dan Dia mengganti (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberikan kemudaratan kepada-Nya sedikit pun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (39)” [Surah al-Tawbah: 38–39]

Maka, negara Arab yang kaya itu hanya menjadi lembu susuan yang diperah susunya dan disembelih apabila diperlukan.

Walau bagaimanapun, cahaya Islam tidak boleh dipadamkan. Allah SWT tetap mengekalkan adanya kumpulan Islam yang meneruskan perjuangan menegakkan Islam di semua negara Islam, khususnya di Palestin. Sabda Rasulullah SAW:

لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الدِّينِ ظَاهِرِينَ، لَعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ وَهُمْ كَذَلِكَ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَأَيْنَ هُمْ؟ قَالَ: ‌بِبَيْتِ ‌الْمَقْدِسِ، ‌وَأَكْنَافِ ‌بَيْتِ ‌الْمَقْدِسِ.

“Masih ada dalam kalangan umatku kumpulan yang menzahirkan perjuangan menegakkan Islam yang gagah perkasa berhadapan musuh, tidak mampu digugat oleh penentang mereka, cuma mereka menghadapi kesukaran, sehingga datangnya pelbagai ujian daripada Allah, namun mereka tidak berganjak.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, di manakah mereka?” Rasulullah menjawab, “Di Bait al-Maqdis dan sekitar Bait al-Maqdis.” [Hadis riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Ansar, no. 22320, daripada Abu Umamah al-Bahili]

Ada hadis yang lain menegaskan kumpulan Islam pasti muncul di setiap tempat dan tanah air umat Islam. Kemunculan gerakan Islam yang kuat setelah dilemahkan pada awal perjuangan Palestin menentang Zionis membenarkan hadis-hadis tersebut.

Malangnya, kejayaan mereka tidak diiktiraf oleh negara Arab dan Islam, walaupun melalui demokrasi rakyat. Walaupun Hamas memenangi Pilihan Raya Perundangan Palestin pada tahun 2006, mereka tidak diiktiraf untuk menubuhkan kerajaan di wilayah yang ramai rakyat Palestin. Sebaliknya, negara Arab dan Barat menerima Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang sekular untuk menubuhkan kerajaan serta menjadi anggota Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), di samping pemerhati bukan ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Apabila Hamas mentadbir Gaza di kubunya, Gaza dikepung dari segenap sudut politik, ekonomi, dan ketenteraan oleh Israel bersama negara sekutunya, malah dikecewakan oleh negara Arab dan Islam.

Kemunculan Republik Islam Iran selepas Revolusi Islam menjatuhkan Shah Pahlavi oleh para ulama’ Syiah yang melakukan tajdid dan islah. Mereka menukar daripada pemerintahan Imam al-Mahdi yang ditunggu (Wilayah al-Mahdi al-Muntazar) kepada pemerintahan kuasa para ulama’ (Wilayah al-Faqih), sama maksudnya dengan siasah syar‘iyyah dan ahkam sultaniyyah dalam mazhab Sunni.

Maka, para ulama’ rasmi kerajaan digunakan untuk membezakannya menjadi masalah khilafiah bagi tujuan memecahbelahkan semula umat Islam, sehingga Iran diserang secara besar-besaran oleh negara Arab atas jenama Sunni melawan Syiah yang sesat, padahal sebenarnya atas semangat kebangsaan Arab yang disebut dalam hadis Rasulullah SAW riwayat Jabir bin ‘Abdillah RA:

كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي غَزَاةٍ، فَكَسَعَ رَجُلٌ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ رَجُلًا مِنَ الْأَنْصَارِ، فَقَالَ الْأَنْصَارِيُّ: يَا لَلْأَنْصَارِ، وَقَالَ الْمُهَاجِرِيُّ: يَا لَلْمُهَاجِرِينَ، فَسَمِعَ ذَلِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: مَا بَالُ دَعْوَى الْجَاهِلِيَّةِ؟ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، كَسَعَ رَجُلٌ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ رَجُلًا مِنَ الْأَنْصَارِ، فَقَالَ: دَعُوهَا ‌فَإِنَّهَا ‌مُنْتِنَةٌ.

Dahulu, kami bersama Nabi SAW dalam satu peperangan (Bani Mustaliq). Tiba-tiba, seorang pemuda Muhajirin menampar punggung seorang pemuda Ansar, lalu pemuda Ansar itu memanggil kaumnya, “Wahai orang Ansar!” Pemuda Muhajirin itu pun memanggil kaumnya juga, “Wahai orang Muhajirin!” Perkara itu didengari oleh Rasulullah SAW, lalu Baginda bertanya, “Apa seruan ini! Kalian hendak balik semula ke zaman jahiliah?” Mereka menjawab, “Wahai Rasulullah, seorang lelaki daripada kalangan Muhajirin memukul punggung seorang lelaki daripada kalangan Ansar!” Baginda pun bersabda, “Tinggalkanlah itu semua, kerana ia (laksana bangkai yang) paling keji baunya.” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab Tafsir al-Qur’an, no. 4905 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, no. 2584]

Para ulama’ pemimpin Revolusi Islam Iran mengarahkan fatwa umat Islam wajib bersatu, khususnya dalam membebaskan Palestin dan Bait al-Maqdis serta mengharamkan pelampau Syiah menghina para sahabat dan Ummahat al-Mu’minin. Di samping mengarahkan sembahyang satu imam di Makkah dan menghidupkan semula sembahyang Jumaat. Namun, isu perpecahan mazhab dan kaum terus dinyalakan.

Hal ini bermula dengan kenyataan beberapa orang pemimpin negara Barat yang sedia membantu Sunni melawan Syiah dan Arab melawan Parsi sehingga Islam melawan Majusi, diikuti oleh para pemimpin negara Arab dengan sokongan para ulama’ mereka.

Sehinggakan para pelampau yang berpegang dengan mazhab Khawarij yang mudah mentakfirkan seseorang dikerah, bahkan para mujahidin yang kembali dari Afghanistan yang ditahan di negara masing-masing dibebaskan supaya berperang di beberapa negara atas nama mazhab Sunni dengan bantuan negara Barat.

Terdedah bahawa perang saudara dicetuskan di semua negara yang menjadi kemudahan kepada Iran untuk membantu Palestin, malah ada antara mereka yang luka mendapat rawatan di Israel.

Keadaan lebih parah apabila mereka gagal mengalahkan Gaza yang diganyang apabila mendapat bantuan sepenuhnya daripada Republik Islam Iran, walaupun Hamas bermazhab Sunni. Akhirnya, Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan besar terhadap Iran dan membunuh para pemimpin utama kerajaan dan tentera, termasuk menggunakan pangkalan tentera Barat di negara Arab.

Tidak ada negara Islam dan Arab yang berani mengutuk pencerobohan yang nyata terhadap Iran, hanya segelintir sahaja. Sebaliknya, apabila Iran menyerang balas semua pangkalan tentera yang digunakan, tindakan itu dianggap menceroboh negara Arab sehingga sanggup mengadakan persidangan PBB untuk mengutuknya.

Republik Islam Iran berjaya melaksanakan perintah Allah SWT:

وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعۡلَمُهُمۡۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ ٦٠

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa-apa saja yang kamu sanggupi dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang, (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu serta orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahui mereka; sedangkan Allah mengetahui mereka. Apa-apa saja yang kamu nafkahkan di jalan Allah, nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” [Surah al-Anfal: 60]

Mereka juga menyahut seruan Allah SWT:

وَمَا لَكُمۡ لَا تُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلۡمُسۡتَضۡعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلۡوِلۡدَٰنِ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَخۡرِجۡنَا مِنۡ هَٰذِهِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلظَّالِمِ أَهۡلُهَا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيّٗا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا ٧٥ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱلطَّـٰغُوتِ فَقَٰتِلُوٓاْ أَوۡلِيَآءَ ٱلشَّيۡطَٰنِۖ إِنَّ كَيۡدَ ٱلشَّيۡطَٰنِ كَانَ ضَعِيفًا ٧٦

“Mengapa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik lelaki-lelaki, wanita-wanita, mahupun anak-anak yang semuanya berdoa, ‘Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini (Makkah) yang zalim penduduknya, dan berilah kami pelindung daripada sisi Engkau dan berilah kami penolong daripada sisi Engkau!’ (75) Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, manakala orang-orang yang kafir berperang di jalan taghut. Oleh sebab itu, perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah. (76)” [Surah al-Nisa’: 75–76]

Al-Quran ialah kitab petunjuk Allah yang berkekalan dan mukjizat ilmu yang benar, wajib kita beriman kepadanya.

Allah melarang dengan keras kepada mereka yang beriman memberikan kepercayaan kepada pertolongan musuh Islam yang nyata. Firman Allah SWT:

۞ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ ٱلۡيَهُودَ وَٱلنَّصَٰرَىٰٓ أَوۡلِيَآءَۘ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٖۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمۡ فَإِنَّهُۥ مِنۡهُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٥١ فَتَرَى ٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ يُسَٰرِعُونَ فِيهِمۡ يَقُولُونَ نَخۡشَىٰٓ أَن تُصِيبَنَا دَآئِرَةٞۚ فَعَسَى ٱللَّهُ أَن يَأۡتِيَ بِٱلۡفَتۡحِ أَوۡ أَمۡرٖ مِّنۡ عِندِهِۦ فَيُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَآ أَسَرُّواْ فِيٓ أَنفُسِهِمۡ نَٰدِمِينَ ٥٢ وَيَقُولُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَهَـٰٓؤُلَآءِ ٱلَّذِينَ أَقۡسَمُواْ بِٱللَّهِ جَهۡدَ أَيۡمَٰنِهِمۡ إِنَّهُمۡ لَمَعَكُمۡۚ حَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فَأَصۡبَحُواْ خَٰسِرِينَ ٥٣

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin (kamu); sebahagian mereka ialah pemimpin bagi sebahagian yang lain! Sesiapa antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim. (51) Maka, kamu akan melihat orang-orang yang ada penyakit dalam hati mereka (orang-orang munafiq) bersegera mendekati mereka (Yahudi dan Nasrani), seraya berkata, ‘Kami takut akan mendapat bencana.’ Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya) atau sesuatu keputusan daripada sisi-Nya. Maka kerana itu, mereka menjadi menyesal terhadap apa-apa yang mereka rahsiakan dalam diri mereka. (52) Dan orang-orang yang beriman akan mengatakan, ‘Inikah orang-orang yang bersumpah sungguh-sungguh dengan nama Allah, bahawasanya mereka benar-benar berserta kamu?’ Rosak binasalah segala amal mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang merugi. (53)” [Surah al-Ma’idah: 51–53]

Tidak ada hujah yang boleh memecahbelahkan umat Islam disebabkan perbezaan mazhab dalam masalah furuk (cabang) agama, kerana mereka bersatu pada dasar dan rukun agama, satu kiblat dan kitab suci, serta sama-sama cinta akan keluarga Rasulullah SAW yang menjadi rukun selawat ketika solat:

‌اللَّهُمَّ ‌صَلِّ ‌عَلَى ‌مُحَمَّدٍ ‌وَعَلَى ‌آلِ ‌مُحَمَّدٍ.

Banyak masalah khilaf dilakukan oleh para ulama’ yang hanya berilmu tetapi tidak bertafaqquh, lalu dipanaskan oleh mereka yang jahil daripada semua mazhab.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 18 Zulqa‘dah 1447 / 6 Mei 2026

[Bil: 31 / 2026]