Malaysia Tak Perlu Hiburan Mepampau Untuk Tarik Pelancong

36
Dakwaan mengarut Festival Air Bukit Bintang Jana RM200 juta hasil

Oleh : Muhammad Baihaqiey Ahmad

Sebelum kita pergi jauh, saya ingin mengajak pembaca membayangkan dua keadaan.

Pertama, lampu neon menyala sepanjang malam, muzik berdentum, orang ramai berpesta tanpa henti. Pelancong yang datang, berhibur dan pulang tanpa tahu dan mengenali tempat itu.

Kedua, tenang tetapi hidup. Ada budaya, ada sejarah, ada rasa. Pelancong datang bukan sekadar melihat, tetapi merasai. Mereka pulang dengan cerita dan pengalaman baru. Mengenal dan menghayati tempat yang mereka pergi.

Persoalannya, kita nak Malaysia jadi yang mana?

Semalam saya terbaca dakwaan kononnya tanpa hiburan, pelancong tak akan datang ke negara kita. Dakwaan ini sebenarnya terlalu simplistik.

Ya, ada tempat seperti Las Vegas, Bangkok atau Ibiza yang bergantung kepada hiburan ekstrem.

Tetapi hakikat yang sering disembunyikan, negara paling ramai pelancong dunia bukan bergantung kepada hiburan melampau. Contohnya, Perancis yang mencatatkan kemasukan pelancong seramai 80 juta setahun terkenal dengan seni, sejarah dan sinonim sebagai bandar percintaan dan romantik.

Itali pula terkenal dengan warisan, kelazatan makanan dan keindahan seni bina. Jepun mengetengahkan budaya, sikap berdisiplin rakyatnya , pengalaman unik meneroka sejarah dan warisannya.

Mereka memenangi hati pelancong bukan hanya kerana hiburan melampau tetapi kerana identiti yang kuat.

Negara kita Malaysia juga memiliki potensi yang sama. Kita bukan kekurangan tarikan. Tapi kita belum memaksimumkan apa yang kita sudah ada.

1. Alam Semula Jadi Bertaraf Dunia. Tahu tak, Malaysia adalah antara negara yang memiliki:
– Hutan hujan tertua dunia (Taman Negara)
– Gunung ikonik Asia Tenggara (Gunung Kinabalu)
– Pulau menyelam terbaik dunia (Sipadan)
– Geopark bertaraf UNESCO (Langkawi)

Ini semua bertaraf dunia.

2. Budaya & Warisan Yang Kaya. Malaysia unik kerana:
– Mempunyai kepelbagaian kaum & tradisi
– Warisan Islam & kolonial
– Tapak warisan UNESCO seperti George Town dan Melaka

Pelancong hari ini cari authentic experience, bukan sekadar hiburan kosong.

3. Syurga Makanan Dunia. Malaysia sering tersenarai antara destinasi makanan terbaik:
– Nasi lemak
– Nasi Dagang
– Char kuey teow
– Roti canai

Bahkan setiap negeri punya keunikan makanan tersendiri. Negara lain buat “food tourism”. Malaysia?
Kita hidup dalam food tourism, tapi belum dipasarkan secara agresif.

4. Pelancongan Islam & Mesra Keluarga. Malaysia antara peneraju:
– Pelancongan mesra Muslim
– Infrastruktur halal
– Keselamatan keluarga

Ini pasaran global bernilai berbilion dolar yang sedang berkembang pesat. Bahkan negara kita merupakan peneraju utama industri halal dunia selama lebih 10 tahun berturut-turut.

Malangnya mereka yang menguruskan pelancongan tidak melihat potensi ini.

Jadi, masalah sebenar kita bukanlah kurang hiburan, tapi kurang strategi. Kalau pelancong tak datang, puncanya bukan sebab “awak terlalu baik untuk saya” atau “bosannya tak boleh clubbing” , tetapi promosi yang tidak konsisten, produk pelancongan tidak dipakejkan dengan menarik dan pengalaman pelancong tidak dikisahkan dengan baik.

Bahkan jika kita hanya menumpukan perhatian untuk menarik pelancong hedonist semata-mata, kita berisiko untuk berdepan dengan peningkatan jenayah, keruntuhan nilai sosial dan imej jangka panjang yang negatif.

Pelancong datang, tetapi masyarakat tempatan yang menanggung harga sebenar

Cadangan saya, untuk masa depan pelancongan Malaysia, bina tarikan kebudayaan, alam semulajadi dan warisan, bukan sensasi dan hiburan semata.

Malaysia tidak perlu menjadi negara lain.
Malaysia perlu menjadi Malaysia versi terbaik.

Fokus yang sepatutnya diberikan perhatian oleh kerajaan adalah :

1. Eco-tourism premium
2. Cultural immersion (kampung stay, seni tradisi, candat sotong)
3. Islamic tourism global hub
4. Food tourism bertaraf antarabangsa
4. Festival budaya yang berkualiti, bukan melampau

Hiburan melampau mungkin boleh menarik pelancong tetapi ia bukanlah satu-satunya jalan.

Malaysia mempunyai sesuatu yang lebih bernilai:

Keindahan tanpa perlu melampau
Budaya tanpa perlu menggadai jati diri
Pengalaman tanpa perlu merosakkan masyarakat

Akhirnya, pelancong bukan hanya mencari tempat untuk berseronok. Mereka mencari sesuatu yang mereka tak boleh dapat di tempat lain dan Malaysia sudah pun memilikinya.

(Penulis ialahPengarah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu)