Malaysia Kekurangan 11,000 Orang Doktor Pakar

222

Oleh : Pyang Mamat

KEMAMAN – Malaysia kini berdepan kekurangan seramai 11,000 doktor pakar yang masih belum diisi di seluruh negara.

Ahli Jawatankuasa Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat, YB Prof. Dr. Haim Hilmi Abdullah menyatakan perkara tersebut ketika mengulas mengenai cadangan pengurangan peruntukan sebanyak RM3.06 bilion kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Menurut Majlis Perubatan Malaysia, kita kekurangan sekitar 11,000 orang doktor pakar di seluruh negara.

Bayangkan keadaan sekarang, sudah berlaku kesesakan pesakit di hospital-hospital dan kemungkinan akan berlaku penangguhan rawatan serta pengambilan doktor sekiranya pemotongan bajet ini diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam Amal Dewan Ulama’ PAS Kawasan Kemaman yang diadakan di Dewan Dato’ Seri Amar Diraja, Cukai pada 30 April lalu.

Menurut beliau, isu kekurangan doktor pakar perlu diberi perhatian serius kerana ia melibatkan kebajikan serta akses rakyat kepada rawatan kesihatan yang berkualiti.

“Kita memerlukan kepimpinan yang benar-benar komited dalam menjaga keperluan asas rakyat, khususnya dalam sektor kesihatan. Insya-Allah pada pilihan raya akan datang, berilah peluang kepada Perikatan Nasional untuk mentadbir negara ini,” ujarnya lagi.

Majlis tersebut turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi PAS Kawasan Kemaman serta ahli jawatankuasanya dalam usaha mengumpul dana bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).