DHPP Terengganu Tonjol Peranan Non-Muslim Dalam Agenda Perpaduan

152

KUALA TERENGGANU – Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu menegaskan bahawa peranan masyarakat bukan Islam dalam menyokong agenda perpaduan semakin signifikan, khususnya melalui penglibatan dalam Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah & Himpunan Alam Melayu.

Ketuanya, Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, penglibatan komuniti non-Muslim dalam program berteraskan ummah membuktikan bahawa nilai perpaduan tidak terhad kepada satu kelompok sahaja, sebaliknya merangkumi seluruh lapisan masyarakat.

“Pendekatan inklusif yang diketengahkan dalam program tersebut membuka ruang lebih luas kepada masyarakat pelbagai agama dan kaum untuk memahami serta menghargai nilai bersama seperti keamanan, hormat-menghormati dan kesejahteraan.

“Ini menunjukkan bahawa usaha memperkukuh perpaduan bukan hanya tanggungjawab umat Islam, tetapi turut dikongsi bersama oleh rakyat Malaysia secara keseluruhan,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa program seumpama itu berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan pelbagai komuniti.

“Sekali gus mengurangkan jurang perbezaan danmenggalakkan dialog yang lebih konstruktif,” ujar beliau.

Tambahnya, keterlibatan aktif masyarakat bukan Islam dalam inisiatif seperti ini juga memberi isyarat positif terhadap usaha membina sebuah negara yang lebih inklusif, stabil dan harmoni.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak platform seumpama ini dapat diperluaskan pada masa hadapan bagi memastikan agenda perpaduan terus diperkukuh merentasi sempadan agama dan budaya.