300 Anggota Jabatan Amal Bertugas Di Ijtimak

313

KUALA NERUS – Seramai 300 anggota Jabatan Amal Negeri Terengganu diaturgerakkan melaksana tugasan kawalan lalu lintas sepanjang tiga hari penganjuran Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu 2026.

Ketuanya, Mohd Hasmizie Hasan berkata, penugasan tersebut melibatkan tiga syif setiap hari bagi memastikan kelancaran pergerakan trafik dan keselamatan pengunjung.

Menurutnya, masa tugasan itu merangkumi waktu pagi hingga tengah hari, tengah hari hingga petang serta petang hingga malam.

“Setiap syif melibatkan seramai 50 anggota yang menjalankan tugasan hakiki Unit Amal dalam aspek kawalan lalu lintas sepanjang program berlangsung.

Hasmizi Hassan

“Kita memberi fokus kepada kawalan kemasukan dan keluar kenderaan, penyuraian trafik dan membantu orang ramai mendapatkan arah laluan yang betul bagi mengelakkan kesesakan teruk di sekitar lokasi program.

“Selain itu, anggota juga sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan termasuk kecemasan, bagi memastikan keselamatan semua pihak sentiasa terpelihara,” jelasnya ketika ditemui hari ini.

Hasmizi menambah, kerjasama semua pihak termasuk pengunjung amat penting dalam mematuhi arahan yang diberikan bagi melancarkan pergerakan trafik.

Tambahnya, disiplin tinggi dalam kalangan anggota dan komitmen berterusan sepanjang tempoh bertugas menjadi kunci kejayaan pengurusan lalu lintas bagi program berskala besar itu.

Sementara itu, semangat tinggi dan komitmen luar biasa ditunjukkan oleh petugas Jabatan Amal, sanggup berkorban tenaga dan masa demi memastikan kelancaran sesuatu program berlangsung dengan teratur.

Komander Amal Kawasan Hulu Terengganu, Mohd Baharudin Mohd Yusof, 27, berkata beliau telah bertugas sejak jam 7.30 pagi dengan pelbagai tanggungjawab termasuk mengiringi tuan guru, membantu bahagian medik serta menjalankan tugas pengiring dan kawalan keselamatan.

Mohd Baharudin Mohd Yusof,

Menurutnya, keletihan memang dirasai lebih-lebih lagi beliau turut terlibat dalam aspek logistik di peringkat negeri.

“Kalau ikutkan, saya sudah mula dari awal lagi sebagai petugas logistik Amal Negeri Terengganu. Persiapan dibuat bermula dari stor sehinggalah ke tapak program,” katanya yang juga juga bekerja sebagai pemandu (diver) di Yayasan Amal Malaysia.

Beliau memaklumkan, tempoh rehat yang diperoleh juga sangat terhad, malah ada ketika hanya sempat tidur sekitar dua jam sahaja sepanjang tempoh bertugas.

Namun begitu, beliau tetap berasa gembira kerana dapat bersama rakan-rakan seperjuangan serta menyumbang kepada kelancaran program.

“Walaupun penat, rasa seronok sebab dapat jumpa kawan-kawan dan sama-sama berkhidmat,” ujarnya.

Tambah beliau, persiapan program telah bermula seawal seminggu lebih awal melibatkan pelbagai aspek termasuk pemasangan penghadang (barrier), kanopi, penyusunan petugas dan penyediaan peralatan komunikasi.