Persiapan Tapak Ijtimak Antarabangsa Cecah 70 Peratus, Orang Ramai Diseru Hadir

384

KUALA NERUS – Persiapan tapak Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, kini telah mencapai kira-kira 70 peratus dan berjalan lancar mengikut perancangan.

Ketua Penerangan PAS Kuala Nerus, Haji Hamidi Jusoh berkata, kerja-kerja persiapan telah dimulakan lebih awal sebelum Ramadan bagi memastikan kelancaran penganjuran program berskala besar itu.

Menurut beliau, komitmen tinggi ditunjukkan oleh pelbagai pihak bersama-sama berganding bahu menjayakan persiapan di tapak program.

“Setakat ini, kita menerima kerjasama yang sangat baik termasuk daripada pemuda dan pelbagai agensi serta jentera parti yang terlibat secara langsung,” katanya.

Beliau berkata demikia ketika ditemui pihak media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat DUN Seberang Takir di Dewan Serbaguna Tok Jembal, Kuala Nerus, semalam.

Beliau turut memaklumkan bahawa program yang berlangsung selama tiga hari bermula 2 hingga 4 Syawal itu dijangka menghimpunkan beberapa tokoh penting dari dalam dan luar negara.

Antara yang dijadual hadir termasuk pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik, wakil Hamas dan Duta Iran, sekali gus menjadikan program tersebut sebagai platform penting perpaduan ummah di peringkat global.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai khususnya rakyat Terengganu dan pengunjung dari luar negeri agar hadir beramai-ramai bagi memeriahkan program tersebut.

“Selain menghadiri program ilmiah, ini juga peluang untuk mengeratkan silaturrahim sempena bulan Syawal dan bertemu sahabat-sahabat dari pelbagai tempat,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan kemudahan penginapan seperti homestay turut disediakan dan orang ramai boleh membuat semakan atau berhubung dengan pihak penganjur sekiranya memerlukan tempat tinggal.

Program berkenaan dijangka bukan sahaja mengukuhkan perpaduan ummah, malah memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat melalui sektor pelancongan dan perkhidmatan.