KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu mengajak seluruh rakyat negeri ini tanpa mengira latar belakang untuk hadir memeriahkan program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu 2026 bagi menyokong usaha penyatuan ummah dan pengukuhan jati diri masyarakat.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program berkenaan dijangka menghimpunkan peserta dari dalam dan luar negara.
Menurutnya, ia sekali gus menjadi medan penting dalam memperkukuh perpaduan ummah serta mempererat hubungan masyarakat serumpun di rantau ini.
“Program ini terbuka kepada semua dan diisi dengan pelbagai acara menarik sepanjang tiga hari penganjuran,” katanya.


Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat DUN Wakaf Mempelam di perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat, semalam.
Katanya, pelbagai pengisian telah dirangka sepanjang program, termasuk forum ilmiah, ceramah perdana, pameran dan aktiviti kebudayaan yang menampilkan keunikan warisan Alam Melayu.
Dalam pada itu, antara acara tumpuan ialah Malam Melayu Berselawat yang dijadual berlangsung pada malam 2 April, menghimpunkan tokoh ulama dan masyarakat dalam suasana harmoni melalui selawat, tausiyah serta persembahan qasidah.


Selain itu, pelbagai acara lain turut disusun seperti kuliah Subuh dan Dhuha, konvoi motosikal anak muda, wacana sejarah dan ketamadunan Islam serta himpunan Alam Melayu yang menampilkan pidato dan persembahan kebudayaan.
Kemuncak program dijangka berlangsung pada malam 4 April menerusi pidato perdana yang memfokuskan agenda penyatuan ummah di Malaysia.
Dalam masa sama, penganjuran karnival, pameran dan gerai jualan sepanjang program dari jam 8 pagi hingga 11 malam turut memberi peluang kepada usahawan tempatan menjana ekonomi dan memperkenalkan produk kepada pengunjung.
Program ini akan berlangsung dari 2 hingga 4 April di Stadium Gong Badak, Kuala Nerus.




























