81 Pekerja Kebersihan DUN Air Putih Terima Sumbangan Penghargaan

161
YB lMohd Hafiz Adam

KUALA TERENGGANU – Seramai 81 pekerja kebersihan ddlam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih disantuni dan menerima sumbangan sebagai tanda penghargaan atas jasa mereka menjaga kebersihan kawasan setempat.

Setiausaha PAS Kemaman, YB Mohd Hafiz Adam berkata, golongan pekerja kebersihan merupakan wira senyap yang memainkan peranan penting dalam memastikan kampung sentiasa bersih dan selesa didiami.

Menurutnya, tanpa usaha dan pengorbanan mereka yang bekerja setiap hari, sukar untuk memastikan persekitaran kampung berada dalam keadaan bersih dan teratur.

“Alhamdulillah, seramai 81 orang pekerja kebersihan di DUN Air Putih telah disantuni dengan sumbangan sebagai tanda penghargaan atas penat lelah mereka selama ini.

“Sedikit tanda ingatan disampaikan berupa wang tunai dan beras lima kilogram sebagai penghargaan atas jasa mereka,” jelasnya Yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih dalam media sosialnya, hari ini.

Justeru itu, beliau turut berharap sumbangan tersebut dapat meringankan sedikit beban mereka di samping menyuntik semangat untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.

Katanya, program berkenaan juga sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan pekerja kebersihan yang banyak menyumbang kepada kesejahteraan dan kebersihan komuniti setempat.