Dr. Sam Sosok Islamis Padu!

83

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor.

Watak seseorang insan dipengaruhi kuat oleh latarbelakang pendidikan ,asuhan keluarga, latar sosial lingkungan, asuhan jamaah serta ekosistem tajnid ( perkaderan dakwah). Dr Sam lahir dalam keluarga disegani masyarakat agrarian Besut pada tahun 1970, kampong Pulau Panjang Jerteh . Perdesaan dengan latar pemandangan sawah padi yang menghijau, meriah juga sebagai lubuk ikan apabila baruh padi mengering. Muncul daripada rahim bondanya disambut oleh bidan kerajaan , Hajjah Wook Binti Husein. Bidan bermata sepet itu menjadi pilihan ramai di Besut kerana reputasi kerjanya. Bermotosikal sendiri, malam atau siang , ” oncall” menerima panggilan menyambut bayi dalam daerah Besut tanpa syarat!.

Bapanya seorang pendidik, menduduki status sosial yang tinggi di kawasan ini. Arwah Cikgu Mokhtar juga mempunyai ribuan anak murid, termasuk adik beradik yang lain menjadi pendidik seperti arwah Cikgu Mohd Nor. Membesar di Jerteh, bandar kecil yang dibuka pada tahun 1930an, jajaran kedai pebisnis Tiong Hua serta masyarakat Pashtun yang tepi Sungai Besut yang menyimpan seribu kisah suka duka rakyat jembel daerah ini. Akhir dekad 70an dan awal dekad 80an ,Jerteh umpama pekan koboi dengan pasar ikan berbau tengik, bangsal tomoi disetiap kampong, riuh rendah wacana politik awam dengan sengitnya pertembungan PAS dengan Umno. Alunan serunai silat dan paluan gendang bertingkah dengan riuh geger politik , sehingga mengheret tokoh tokoh politik tempatan ke jeriji gelap ISA!.

Dr Sam memasuki alam persekolahan di Sekolah Pusat Jerteh pada tahun 1977. Sekolah pinggir bandar yang menjadi tumpuan warga Jerteh untuk mendaki takah mobiliti sosial. Anak anak kampong daripada Kampong Balik Bukit, Kampong Pulau Panjang, Kampong Tandak, Mak Sara, Gong Nering berkumpul disini yang kadang sesi pembelajaran terhenti kerana seluruh warga sekolah menyaksikan pertarungan tinju Mohamed Ali dan Joe Bugner!.

Dr Sam mendapat keputusan 5A dalam Penilaian Darjah Lima dan melanjutkan pendidikan menengah di Sekolah Sains Sultan Mahmud pada tahun 1983. Dekad itu pelajar- pelajar cemerlang peringkat sekolah rendah daerah Besut akan dibawa keluar , menyambung pendidikan menengah di sekolah premier, SBP atau yang setaraf dengannya.

Dibangku sekolah menengah dalam era kebangkitan semula Islam serta fenomena Tuan Guru Haji Hadi menemukan Dr Sam dengan fikrah perjuangan Islam. Beliau dan anak remaja berketayap putih yang lain ( anak usrah almarhum Cikgu Shukrimun ) berulang ke masjid Rusila pada hari jumaat untuk mencicip ilmu dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Usrah sebagai medan mengasuh amilin, lubuk berukhuwwah serta menggilap bakat dan potensi diri. Berhujung di SESMA dengan kecermerlangan akademik, anak muda ini melangkah ke kampus Bangi yang sinonim dengan gerakan Islam pelajar ISIUKM.

Anak jati kelahiran Jerteh ini terus cemerlang diperingkat pengajian tinggi. Dr Sam bukan sekadar aktivis Islam di kampus Bangi, juga menerima Ijazah Saarjana Muda (Kepujian) dalam Kejuruteraan Mekanikal dan Bahan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1993. Seterusnya melanjutkan pendidikan pasca siswazah di bumi Pax Britanica, mendapat ijazah Sarjana Sains dalam Pembakaran (Combustion) dan Tenaga daripada Pusat Kajian Pembakaran, Universiti Leeds pada tahun 1996. Bermukim ilmu di United Kingdom juga melebarkan lahan pentarbiahan sosok genius ini. Beliau bersama Hizb Islami UK Eire, berpeluang menghirup pengalaman diperingkat antarabangsa.

Pendidikan tertiari Dr Sam disempurnakan di Kampus Leeds UK. Beliau menggondol ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pencucuhan dan Pembakaran Aeroengine, Kegagalan Enjin Altitud Tinggi dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Leeds pada tahun 2001. Mantan Setiausaha Lujnah Tarbiah Dan Perkaderan PAS Pusat ini pulang berkhidmat di Universiti Putra Malaysia sehingga meraih reputasi besar dalam bidang aero angkasa negara ini. Wajahnya sentiasa muncul apabila terkait isu isu awam penerbangan seperti isu MH 170. Professor bidang aero angkasa ini juga dalam masa yang sama terus aktif bersama PAS, seperti mana angkatan perkaderan dakwah kampus yang lain seperti almarhum Dr Khazani Abdullah dan akademisi tarbiah PAS yang lain .

Bintangnya dalam politik benderang, apabila usaha terancang untuk membawa balik Dr Sam bertanding di Dun Rhu Rendang Terengganu pada Mei 2018. Setiausaha politik Tuan Guru Haji Abdul Hadi ini menang bergaya di DUN tradisi PAS ini,seterusnya dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang ke 15. DS Ir Dr Samsuri juga menang bergaya dalam PRK Kemaman pada Disember 2023 , dengan lebih 37 000 majoriti. Namanya mula diratib, disebut sebagai pesaing kepada DS Anwar Ibrahim sehingga cytro serta avatar PH menumpukan serangan kepada Naib Presiden PAS ini.

Karektor yang banyak membantu sosok ini ialah beliau tidak memilih untuk ‘ berperang’ dengan musuh politik. Dengan sendirinya, pertembungan PAS Umno mereda dengan pantas di bumi Terengganu. Fokus kepada usaha pembangunan serta memajukan modal insan sehingga Terengganu meraih reputasi awam sebagai negeri paling bahagia di Malaysia . Tekanan kepada pentadbiran beliau melalui gangguan hak royalti tidak melunturkan semangat untuk mempelbagaikan pendapatan bukan minyak dan gas. Terengganu adalah satu satunya negeri sifar pembangkang serta berlakunya asimilasi antara kaum bumiputera dan bukan bukan bumiputera. Sentiasa mengharum cemerlang dalam seluruh peperiksaan awam negara ini. Pelancong domestik dan luar negara berdesakan ke negeri bahagia ini,dengan jajaran pantai bersih, kedamaian pulau serta ratusan titik pesona pelancongan.

Kehidupan yang berimbang, kemeriahan majlis majlis ilmu, keimarahan masjid surau, bervariasi pesta serta karnival yang patuh syariah dibawah pentadbiran Dr Sam hampir dua penggal pentadbiran di tanah Tok Ku Paloh ini. Kompetensi dan piawaian ini yang melonjakkan nama Dr Sam serta publik tanpa suguhan pengaruh luar, secara organik menamakan beliau sebagai calon Perdana Menteri ke 11. Hari ini mesyuarat Perikatan Nasional menamakan beliau sebagai Pengerusi baru PN setelah secara rasmi TS Mahyiddin Yasin meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN . Alam maya terus berdecak hangat meraikan perlantikan ini, pujian juga kejian daripada kawan dan lawan memanaskan medsos . Masa yang akan menentukan impian rakyat negara ini untuk melihat perubahan politik nasional !.

( Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI )