Pentadbiran Negeri Menuntut Kebijaksanaan

101

KUALA TERENGGANU – Pentadbiran negeri menuntut kebijaksanaan dalam mengimbangi antara prinsip dan realiti semasa.

Kata Naib Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), YAB Dato Sri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Nadwah Ulama’ yang berlangsung hari ini menjadi medan wacana penting dalam memahami realiti pentadbiran melalui kerangka Fiqh Siyasah dan Fiqh Muwazanat.

“Dalam pentadbiran, kita tidak sentiasa berdepan pilihan hitam atau putih, sebaliknya kita sering berada di persimpangan, menilai maslahat dan mafsadah dengan penuh tanggungjawab,” jelasnya dalam laman sosialnya hari ini.

Menurut beliau yang juga Menteri Besar Terengganu, pentadbiran diibaratkan seperti mengemudi kapal di lautan terbuka tidak mampu mengawal ombak, namun perlu bijak menentukan haluan agar tidak karam atau tersasar daripada destinasi.

“Jika terlalu keras melawan arus, kapal boleh karam. Jika terlalu mengikut arus, kita hilang destinasi.

“Maka di situlah perlunya hikmah, muwazanat dan ketenangan dalam membuat keputusan,” ujar beliau.

Tambahnya, siyasah syar’iyyah bukan sekadar idealisme, sebaliknya seni mengimbangi tuntutan syariah, batas perlembagaan, keperluan ekonomi dan kesejahteraan rakyat secara bertahap dan berstrategi.

Beliau turut menegaskan bahawa Islam tidak mengajar pendekatan “semua atau tiada”, sebaliknya menekankan prinsip tarjih, tadarruj dan pertimbangan jangka panjang demi maslahat ummah.

Dalam masa sama, beliau berharap nadwah tersebut dapat memperkukuh peranan ulama’ sebagai penasihat nilai, jambatan penerangan dan rakan strategik dalam pentadbiran moden agar negeri terus maju dan rakyat kekal sejahtera.

Ahmad Samsuri turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta yang hadir dengan jiwa terbuka dan komitmen untuk membina kefahaman, bukan sekadar polemik.