PAS Konsisten Politik Amanah, Rasuah Ancaman Besar Negara

253

KUALA NERUS – Perbahasan yang dibawa oleh Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menekankan tanggungjawab kepimpinan untuk mengurus kuasa dengan penuh amanah dan integriti selaras dengan tuntutan Islam.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu Dato’ Dr Alias Razak berkata Tuan Guru Abdul Hadi Awang membawa perbahasan yang berfakta dan berprinsip di Dewan Rakyat baru-baru ini apabila mengangkat isu rasuah sebagai ancaman besar terhadap masa depan negara serta kestabilan pentadbiran.

Menurut beliau, perbahasan tersebut tidak bersifat retorik politik semata-mata, sebaliknya memberi peringatan jelas bahawa kuasa bukan lesen untuk mengaut kekayaan, tetapi amanah besar yang akan dipersoalkan bukan sahaja di dunia, malah di akhirat.

“Tuan Guru Presiden menegaskan bahawa masalah rasuah perlu ditangani secara menyeluruh kerana ia merosakkan sistem dan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara,” kata Ahli Parlimen Kuala Nerus itu, ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas mengenai pentadbiran negeri-negeri yang diterajui PAS, Dr Alias berkata rekod bersih daripada skandal rasuah membuktikan pendekatan politik berteraskan nilai Islam mampu diterjemahkan dalam bentuk tadbir urus yang telus dan berintegriti.

Katanya, PAS tidak mendakwa kebal daripada ujian, namun budaya pentadbiran yang menekankan amanah, kesederhanaan serta kawalan dalaman yang berterusan menjadi benteng penting dalam mencegah salah guna kuasa.

“Di Terengganu misalnya, kepimpinan sentiasa diingatkan bahawa jawatan adalah medan khidmat kepada rakyat, bukan peluang mengumpul kepentingan peribadi.

“Prinsip amar makruf nahi mungkar diterjemahkan dalam dasar dan pentadbiran,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Dr Alias berpandangan kepercayaan rakyat yang semakin beralih kepada PAS berpunca daripada kekecewaan terhadap parti-parti politik lain yang sering terpalit dengan isu rasuah dan kegagalan tadbir urus.

Beliau berkata, rakyat kini semakin matang dan menilai parti politik berdasarkan rekod pentadbiran serta keupayaan memelihara amanah, bukan sekadar janji dan slogan.

“PAS menawarkan politik nilai, bukan politik dendam. Kita tidak menjanjikan kesempurnaan mutlak, tetapi komitmen untuk mentadbir dengan prinsip Islam, ketelusan dan kebertanggungjawaban,” katanya.

Tambah beliau, kepercayaan rakyat merupakan amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh rasa takut kepada Allah dan tanggungjawab terhadap kesejahteraan negara.