Isu Penternakan Babi Perlu Kawalan Menyeluruh

236
Dato' Ustaz Mohd Nor Hamzah

KUALA TERENGGANU – Isu penternakan babi kini menjadi perhatian utama di negara ini berikutan kesan sosial, kesihatan awam dan sensitiviti agama Islam.

Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menegaskan bahawa penternakan babi tidak boleh dilakukan secara bebas dan perlu berada di bawah kawalan kerajaan yang menyeluruh, bagi memastikan aktiviti ini tidak menimbulkan mudarat serta mengganggu keharmonian masyarakat majmuk.

Ketua Penerangan DUPP, YB Dato’ Ustaz Haji Mohd Nor Hamzah berkata, Islam secara jelas melarang umat Islam terlibat dalam penternakan, pemilikan dan perdagangan khinzir, namun ia tidak menafikan hak orang bukan Islam untuk menjalankan aktiviti berkenaan dalam kerangka undang-undang.

“Walaupun Islam tidak menghalang orang bukan Islam daripada menternak atau memakan babi, kebebasan itu tidak bersifat mutlak. Ia mesti dikawal agar tidak menimbulkan kegusaran, mudarat serta gangguan terhadap sensitiviti masyarakat Islam,” katanya Yang juga Bendahari PAS Terengganu, dalam kenyataan rasmi semalam.

Beliau menegaskan setiap aktiviti yang diharamkan kepada umat Islam hendaklah berada di bawah kawalan pemerintah, melalui mekanisme perlesenan, pengawasan dan penguatkuasaan yang ketat, selaras dengan prinsip fiqh: Tindakan pemerintah terikat dengan maslahat umum.

DUPP mencadangkan penggubalan akta percukaian khusus serta sistem perlesenan yang tersusun bagi mengawal industri penternakan dan jualan babi secara menyeluruh di seluruh negara. Ini bagi memastikan aktiviti tersebut tidak berkembang secara tidak terkawal dan memberi kesan negatif kepada masyarakat dan alam sekitar.

DUPP juga menekankan keperluan kerajaan negeri mengambil kira pandangan penduduk setempat melalui rundingan awam sebelum sebarang kelulusan diberikan kepada pengusaha atau penternak.