Dari Terengganu ke Aceh: Misi Kemanusiaan Dan Liputan , Santuni Mangsa Banjir

460

KUALA TERENGGANU — Seramai lima anggota Kelab Aktivis Media Aspirasi (KAMI) berlepas ke Aceh, Indonesia bagi melaksanakan misi kemanusiaan dan liputan, membantu mangsa banjir yang terjejas, bermula 6 hingga 10 Januari 2026.

Ketua Misi KAMI, Ahmad Faizol Mohd Yusop berkata, misi tersebut bukan sahaja melibatkan liputan media di kawasan terjejas, malah memberi tumpuan utama kepada penyampaian bantuan makanan, barangan keperluan asas serta sokongan moral kepada mangsa banjir di daerah Pidie Jaya.

Menurutnya, misi itu dilaksanakan susulan banjir besar yang melanda beberapa wilayah di Aceh akibat hujan lebat berterusan sejak awal Disember 2025, menyebabkan ramai penduduk kehilangan tempat tinggal, sumber pendapatan dan akses kepada keperluan asas.

“Misi ini bertujuan meringankan penderitaan mangsa banjir, khususnya keluarga yang terputus bekalan makanan dan kehilangan tempat tinggal,” katanya ketika ditemui media, semalam.

Beliau berkata, misi berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama KT Care dan Wakaf Mempelam Care bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara tersusun, telus dan berkesan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Tambahnya, aspek sokongan emosi turut diberi penekanan bagi membantu mangsa, khususnya kanak-kanak dan warga emas, menghadapi trauma pasca bencana, selain mengeratkan hubungan kemanusiaan dan solidariti serantau antara Malaysia dan Indonesia.

Majlis pelepasan misi tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, YB Ustaz Hisyamuddin Abdul Karim di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Misi ini mencerminkan peranan aktif masyarakat sivil dalam membantu mangsa bencana serta memperkukuh semangat kebersamaan di peringkat serantau.