Terengganu, Malaysia

Anti-Islam AS dilapor sumbang dana kepada Geert Wilders

Kumpulan itu, yang ingin menyekat pengaruh Islam di Barat, berkata mereka antara lain memberi sumbangan bagi menyediakan perlindungan polis, selain membayar kos perundangan bagi Encik Wilders.

Tinjauan menunjukkan parti Kebebasan yang dipimpin Encik Wilders kini menduduki tangga keempat menjelang Pilihan Raya Parlimen hari ini.

Sebelum ini, Encik Wilders menyarankan agar kemasukan pendatang rakyat asing dihadkan dan melarang pemakaian tudung serta pembinaan masjid di Belanda.

Antara kumpulan di Amerika yang menyumbang dana kepada Encik Wilders ialah The Middle East Forum, yang berpangkalan di Philadelphia.

Badan pemikir itu telah menyumbang kepada kos perundangan Encik Wilders pada 2010 dan 2011, yang menghadapi tuduhan membangkitkan kebencian kaum ekoran kenyataannya mengenai masyarakat Islam.

Encik Wilders, 49 tahun, telah dibebaskan daripada tuduhan itu apabila kes itu dibicarakan.

Dalam laman webnya, badan itu melakarkan matlamatnya ialah mahu melindungi “kebebasan bersuara penulis anti-Islam, mempromosikan kepentingan Amerika di Timur Tengah dan melindungi perlembagaan daripada ancaman Timur Tengah.”

Encik David Horowitz, yang mengendalikan kumpulan konservatif yang berpangkalan di Los Angeles, pula mengaku membayar Encik Wilders bagi dua ucapan, membayar kos keselamatan semasa bantahan pelajar dan bayaran penginapan pengawal Encik Wilders semasa beliau melawat Amerika pada 2009.

Encik Wilders menjadi anggota Parlimen Belanda pada 2006 dan dikenali sebagai ahli politik yang giat berkempen menentang Islam yang disifatkan sebagai ancaman kepada budaya Belanda dan Barat.

Encik Wilders berkata Islam ialah ideologi politik ganas dan berikrar tidak memasuki sebarang masjid. Dalam Pilihan Raya Parlimen pada Jun 2010, partinya menang 24 daripada 150 kerusi Dewan Rendah. – Reuters.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan