KUALA TERENGGANU – Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu menyambut baik langkah Perikatan Nasional (PN) untuk terus melangkah ke hadapan dengan memperkukuh kepimpinan gabungan, demi menjamin kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat dan negara.
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu, To’ Puan Hajah Zarani Othman berkata, pihaknya menyatakan sokongan penuh terhadap peranan PAS sebagai teras kepimpinan PN, berasaskan rekod kepimpinan yang konsisten, berprinsip dan berpaksikan nilai Islam yang sederhana, adil serta inklusif.
Menurut beliau, PAS diyakini mampu menjadi pemersatu gabungan dengan membawa pendekatan politik berasaskan penyelesaian, menolak sebarang bentuk ekstremisme serta mengutamakan kebajikan rakyat pelbagai lapisan masyarakat.
“Dewan Muslimat PAS Terengganu turut menyokong kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, yang menegaskan kepentingan penyatuan umat Islam bersama masyarakat bukan Islam yang tidak ekstrem demi menjamin keharmonian negara majmuk,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau menambah, pendekatan tersebut mencerminkan kematangan politik Islam yang membawa nilai rahmah, keadilan dan keamanan kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.
Dalam pada itu, katanya, kepimpinan politik Islam perlu bergerak seiring dengan usaha dakwah dan tarbiyah yang berhemah serta berhikmah, bagi menyampaikan keindahan Islam kepada masyarakat bukan Islam di samping memperkukuh kefahaman umat Islam sendiri.
“Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu yakin bahawa melalui kepimpinan yang berprinsip, pendekatan dakwah yang inklusif serta kesepaduan gabungan, Perikatan Nasional berupaya memimpin agenda penyelamatan negara dan merealisasikan aspirasi Malaysia Sejahtera”, tegasnya.





























