Iktiraf UEC Gugat Perpaduan, Kerajaan Digesa Kekal Tegas

110

MARANG — Kerajaan Persekutuan digesa agar tidak tunduk kepada tekanan politik dalam isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang didakwa boleh menjejaskan perpaduan nasional serta identiti negara.

Pengerusi Lajnah Hubungan NGO dan Seranta PAS Kawasan Marang, Dato’ Haji Yahaya Ali, berkata sistem pendidikan kebangsaan merupakan tunjang utama penyatuan rakyat berbilang kaum dan tidak wajar disamakan dengan sistem pendidikan terasing yang menggunakan silibus berbeza.

Katanya, pendirian PAS berhubung UEC kekal konsisten dan tidak pernah memberi kelulusan tanpa syarat.

Sebaliknya, sebarang pengiktirafan mestilah mematuhi piawaian Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

“Sistem pendidikan merupakan alat paling ampuh dalam menyatukan rakyat pelbagai kaum dalam sesebuah negara. Namun, usaha ini akan gagal sekiranya wujud sistem pendidikan terasing yang diberikan taraf sama dengan arus perdana.

“Jika kita bercakap soal perpaduan, kerajaan pasti akan berdepan masalah besar untuk menanganinya sekiranya pengiktirafan UEC diteruskan, kerana jurang perpaduan dijangka menjadi semakin luas.

“Di mana-mana negara, penyatuan nasional dibentuk melalui satu sistem pendidikan kebangsaan. Namun tindakan kerajaan dilihat seolah-olah ‘memberi muka’ dengan membenarkan satu kelompok mengamalkan sistem pendidikan sendiri sehingga menuntut pengiktirafan rasmi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas polemik yang sering mengaitkan PAS sebagai hipokrit dalam isu tersebut, beliau menegaskan bahawa pendirian parti itu kekal konsisten dan tidak pernah memberikan ‘cek kosong’ kepada Dong Zong.

“Ketegasan PAS menolak UEC adalah berasaskan kajian yang mendapati silibus peperiksaan tersebut masih berkiblatkan Taiwan dan China, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap penyebaran doktrin etnosentrisme serta pengabaian subjek kenegaraan seperti Sejarah Malaysia.

“Isu ini sebenarnya hanyalah ‘gula-gula politik’ yang cuba dihidupkan semula oleh DAP untuk meraih kembali sokongan masyarakat Cina susulan prestasi buruk mereka di Sabah dan Sarawak.

“Kita tidak boleh membiarkan pengiktirafan berlaku melalui ‘pintu belakang’. Politik mungkin bersifat anjal, namun Dasar Pendidikan Negara mesti kekal keras dan tegas demi masa depan identiti negara,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa kebimbangan utama adalah kandungan silibus UEC yang masih berorientasikan luar negara dan berpotensi menghakis elemen kenegaraan, khususnya subjek Sejarah Malaysia.

Sehubungan itu, kerajaan diseru agar memberi tumpuan kepada pemerkasaan sistem pendidikan sedia ada serta tidak menggadaikan prinsip perpaduan nasional demi kepentingan politik jangka pendek.