Suasana Kampung Pinang Merah Berbeza Mengiringi Pemergian ‘Ustaz Ja’

342

DUNGUN – Suasana Kampung Pinang Merah benar-benar berbeza mengiringi pemergian mengejut ‘Ustaz Ja’, Al-Hafiz Ustaz Jamaludin Jusoh, menghembuskan nafas terakhirnya awal pagi Jumaat ‘barakah’

Pengerusi Lujnah Pendidikan PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Satiful Bahri Mamat menyifatkan, kehadiran ramai jjamaah menunaikan solat jenazah di masjid Kampung tersebut, bukan sahaja penuh, tetapi melimpah.

“Hari ini suasana benar-benar terasa lain. Seolah-olah semua yang hadir tahu… kita sedang menyaksikan pemergian seorang insan yang Allah muliakan di dunia sebelum dimuliakan lagi di akhirat.

*Dari tingkat bawah masjid sampai ke tingkat atas, setiap ruangnya dipenuhi manusia yang datang dengan hati yang berat.

“Ada yang kata, macam dua kali solat Jumaat hari ni. Tapi hakikatnya, yang hadir mungkin lebih ramai daripada itu.” kata ADUN Paka itu dalam hantaran media sosialnya

Menurutnya, setiap wajah Yang datang membawa satu cerita, kenangan dan sentuhan kebaikan Ustaz Ja yang pernah singgah dalam hidup mereka.

“Ramai yang tidak pernah sekali pun duduk rapat dengan ustaz, tetapi pernah tersentuh dengan taujihatnya.

“Ramai yang mengenalinya bukan kerana pangkat atau kedudukan, tetapi kerana akhlak, kelembutan, dan caranya membimbing tanpa meninggi diri.” ujar beliau yang menambah, “Hari ini semua itu menjadi saksi. Ramai sungguh yang menjadi saksi kebaikan beliau.”

Cuaca pula seakan mengerti, kata Ustaz Satiful, sejak pagi langit mendung dan angin bertiup perlahan.

“macam nak hujan. Tetapi tidak setitik pun turun. Seolah-olah Allah menahan langit supaya segala urusan disempurnakan dengan mudah.

“Mendung itu seperti payung besar yang menaungi semua yang hadir, hening dan syahdu, semacam langit pun sedang berduka.” jelasnya..

Allah jemput beliau, kata Ustaz Satiful, selepas beliau mengisi taujihat dalam Tamrin Qiadi Muslimat PAS Kawasan Dungun dan itulah program terakhirnya.

” Satu kemuliaan yang bukan semua orang dapat. Hari ini bukan sekadar jenazah dikebumikan. Hari ini seperti satu majlis ilmu terakhir. Satu peringatan besar bahawa hidup seorang pendakwah tidak pernah sia-sia.” tambahnya lagi.

Bait-bait nasihat Ustaz Jamaludin, katanya lagi, adalah pesanan yang ringkas tetapi tajam, semuanya kembali hidup dalam ingatan para pejuang baik yang muda mahupun yang telah lama berjuang.

“Pemergiannya sendiri menjadi dakwah. Menjadi taujihat yang terakhir.

“Kini beliau berehat dengan damai di sana. Perjuangannya selesai. Tetapi cahaya yang beliau tinggalkan terus menyala dalam hati ramai orang.”tegas Ustaz Satiful.

Semoga Allah menempatkan beliau bersama para solihin, para guru yang terdahulu, dan para kekasih-Nya yang dirahmati, katanya lagi.