KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu komited menjadikan Tahun Melawat Malaysia 2026 sebagai batu loncatan penting untuk memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai destinasi pelancongan utama negara.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata usaha itu akan dilaksanakan melalui penganjuran pelbagai acara bertaraf antarabangsa yang mampu menarik kehadiran pelancong dalam dan luar negara.
“Antara program yang bakal menjadi tumpuan ialah Sultan Mizan International Photography Awards, Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah serta Himpunan Melayu Nusantara,” katanya ketika berucap membentangkan Belanjawan Terengganu 2026 di Wisma Darul Iman, hari ini.


Menurut beliau yang Jug merupakan Naib Presiden PAS, acara-acara berimpak tinggi itu bukan sahaja berperanan meningkatkan ketibaan pelawat asing, malah turut mempromosikan kekayaan budaya, warisan dan nilai keislaman negeri Terengganu kepada dunia.
Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri turut merangka pelan jangka panjang melalui penubuhan Sekretariat Tahun Melawat Terengganu 2027 bagi memperkukuh tadbir urus dan penyelarasan sektor pelancongan negeri.
“Sektretariat ini akan melibatkan pelbagai entiti kerajaan, GLC negeri, pihak swasta, penggiat industri serta wakil komuniti bagi memastikan setiap inisiatif berjalan seiring dengan matlamat pembangunan pelancongan negeri,” ujarnya.


Tambah beliau, sekretariat itu turut diberi tanggungjawab memperkemas rancangan promosi pelancongan negeri melalui pendekatan kreatif dan digital, di samping menonjolkan keunikan budaya, warisan serta ekopelancongan dan hospitaliti tempatan.
Dr Ahmad Samsuri turut menegaskan, segala usaha itu akan memastikan kemudahan dan infrastruktur pelancongan berada dalam keadaan bersedia bagi memberikan pengalaman terbaik kepada para pelawat





























