KUALA NERUS – PAS menjadi harapan kepada rakyat negeri Terengganu memenangi Pilihan Raya Umum kali ke-16 sekali gus mencapai kejayaan peringkat nasional dan mentadbir Putra Jaya
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Haji Husain Awang menegaskan bahawa tanggungjawab utama jentera parti PAS di Terengganu kini ialah mempertahankan kemenangan yang dicapai pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu, selain memastikan kejayaan lebih besar dalam PRU akan datang.
Beliau berkata, dalam PRU ke-15 yang lalu, PAS Terengganu berjaya menang bergaya dan cemerlang dengan menawan lapan kerusi Parlimen serta 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui semangat dan tema “Teguh Pertahan”.
“Tanggungjawab utama khusus bagi negeri Terengganu ialah mempertahankan kemenangan ini


“Kita akan hadapi PRU 2026 dan keputusan pada PRU ke-15 lalu membuktikan bahawa rakyat memberikan kepercayaan besar kepada PAS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Munaqasyah Ucapan Presiden PAS, di Kompleks At-Taqwa, di sini, hari ini.
Menurut beliau, kejayaan tersebut bukan datang secara tiba-tiba, sebaliknya hasil usaha berterusan sejak PRU ke-14 di bawah tema ‘PAS Ganti UMNO’ yang berjaya meyakinkan rakyat tentang kemampuan PAS memimpin.
“Kecemerlangan ini adalah hasil pembajaan yang telah dilaksanakan sejak PRU ke-14 lagi. Program dan rangka kerja yang kita janjikan kepada rakyat menepati keperluan semasa, manifesto kita menyentuh denyut nadi rakyat dan calon-calon kita menyentuh hati nurani mereka,” jelasnya.


Beliau menambah, kemenangan besar PAS dalam PRU ke-15 dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk kejayaan menunaikan janji manifesto serta kekuatan pentadbiran negeri yang mempunyai dana dan bajet mencukupi.
“Majoriti rakyat ketika itu juga menolak UMNO dan Barisan Nasional (BN), selain faktor dalaman BN yang berpecah serta berebut kuasa,” katanya.
Namun, beliau mengingatkan bahawa PRU ke-16 dijangka lebih mencabar kerana pihak lawan kini telah sedar dan tampil dengan strategi serta wajah baharu.




























