Menteri Hina Wartawan Wajar Letak Jawatan

199

Tindakan melampau Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tuan Nga Kor Ming, disifatkan sebagai tidak wajar dan biadab apabila beliau sanggup mengugut seorang pengamal media secara terbuka, hanya kerana wartawan tersebut bertanyakan soalan berkaitan penggunaan Bahasa Melayu dalam tagline Tahun Menyambut Malaysia 2026.

Perbuatan itu menunjukkan sikap angkuh seorang menteri dan wajar dikenakan tindakan tegas bagi menjaga kredibiliti serta kebebasan media di negara ini.

Mengapa sampai begitu sekali sikap seorang menteri terhadap pengamal media yang hanya menjalankan tugas?

Adakah kerana wartawan tersebut berasal daripada agensi yang dahulunya dikenali sebagai Utusan Melayu dan kini dikenali sebagai Utusan Malaysia, sehingga menyebabkan menteri berkenaan menunjukkan sikap kebencian yang melampau?

Tiada sebarang kesalahan pada soalan yang diajukan oleh petugas media tersebut, malah bentuk pertanyaannya amat wajar memandangkan Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Seorang menteri sepatutnya menjawab dengan penuh etika dan profesionalisme, bukan bertindak secara emosional apabila diajukan soalan yang menyentuh kemuliaan dan kedudukan bahasa kebangsaan.

Setelah menyedari tindakannya tidak dapat diterima oleh rakyat Malaysia, menteri berkenaan sekali lagi cuba menenangkan keadaan dengan menawarkan untuk menjemput wartawan ke majlis makan malam bagi meraikan mereka.

Namun, tindakan itu sekali lagi dianggap membawa budaya yang tidak sihat serta menghina pengamal media, seolah-olah mereka boleh dipujuk atau digula-gulakan dengan jamuan.

Oleh itu, kami mendesak agar menteri terbabit memohon maaf secara terbuka kepada seluruh pengamal media dan bertanggungjawab sepenuhnya atas insiden yang berlaku dengan melepaskan jawatannya.

Tindakan berupa penghinaan, ugutan dan cubaan mengula-gulakan pengamal media adalah sama sekali tidak dapat diterima, khususnya apabila kerajaan sebelum ini sering menegaskan komitmen terhadap kebebasan media di negara ini.

Naraza Muda
Pengerusi
Kumpulan Aktivis Media Inspirasi (KAMI)
11 Jamadilawal 1447H
2 November 2025