KUALA TERENGGANU – Politik dalam Islam bukan sekadar medan perebutan kuasa, sebaliknya satu amanah besar dalam mengurus tadbir negara berlandaskan panduan agama bagi mencapai matlamat syariah,
Pegawai Tadbir Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Ustaz Zakaria Dagang berkata, politik yang sebenar membawa erti tanggungjawab untuk menegakkan keadilan, memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta selaras dengan maqasid syariah.
“PAS melihat politik sebagai wasilah (alat), bukan matlamat. Matlamatnya ialah menegakkan maqasid syariah. Menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta, melalui dasar yang adil, telus, dan berakauntabiliti.
“Kerja PAS sentiasa bertunjangkan dakwah, tarbiyah dan siyasah, membina masyarakat berakhlak, memperkasa institusi keluarga dan komuniti, serta memperjuang dasar yang mensejahterakan semua.


“PAS menekankan siyasah (politik) sebagai alat mencapai matlamat Islam, untuk melaksanakan syariat dan menjaga kepentingan ummah,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pengisian dalam Program Himpunan Unit Tubuh PAS peringkat Besut (Siri 2) di Kompleks Sayyidatina Khadijah (KOMSIK), semalam.
Menurut Ustaz Zakaria, politik juga melibatkan urusan praktikal seperti pilihan raya, pembentukan kerajaan negeri dan persekutuan, serta penggubalan dasar pentadbiran yang menyentuh hidup harian dan memberi kesan langsung kepada rakyat dalam aspek belanjawan, pendidikan, kesihatan, kebajikan dan alam sekitar.
“Mandat rakyat diterjemah kepada kuasa yang diurus, disemak dan dihisab. Kerajaan melaksana, pembangkang menimbang tara, agar amanah tidak tersasar,” tambah beliau.
Intinya, jelas beliau, politik ialah amanah untuk mensejahterakan rakyat bukan medan memperdagangkan kuasa.






























