PAS Kesal Gengan Sambutan Berlebihan Trump, Umpama ‘Mencurahkan Garam Di Luka’ Gaza

110

KUALA TERENGGANU – PAS kesal dengan gaya dan nada sambutan yang berlebih-lebihan kerajaan Malaysia, ketika menyambut ketibaan Presiden AS Donald Trump, seolah-olah ‘mencurahkan garam di luka’ penduduk Gaza

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menggesa kerajaan Malaysia supaya konsisten menjadikan tragedi kemanusiaan sebagai agenda penting negara dalam perbincangan dengan Amerika Syarikat (AS), sekali gus menegaskan pendirian, Malaysia menolak pencerobohan dan kezaliman.

“PAS percaya kehadiran Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025 harus dilihat dalam kerangka hubungan ekonomi, diplomatik dan geostrategik, tanpa mengetepikan pendirian Malaysia berkait isu-isu keadilan, kedaulatan dan kebebasan, khususnya melibatkan rakyat Palestin.

“luka Gaza masih berdarah, selain mencabar sensitiviti dunia bebas terhadap bencana kemanusiaan yang berlaku.

“Ia tidak sewajarnya menjadi citra pendekatan negara dalam interaksi seterusnya dengan beliau,” katanya melalui satu kenyataan, semalam.

Dalam pada itu, kata beliau, PAS juga mengingatkan bahawa apa-apa rundingan atau perjanjian perdagangan antara Malaysia dengan AS hendaklah didasarkan pada prinsip-prinsip keadilan dan saling menghormati.

“Hubungan dua hala mana-mana negara hendaklah berpandukan asas ini dan manfaat ekonomi setara antara kedua-duanya, bukannya dominasi ekonomi sebelah pihak,” jelasnya.

Tambah beliau, hubungan Malaysia dengan kuasa-kuasa besar dunia mestilah menatijahkan manfaat nyata kepada rakyat dan negara melalui perdagangan, pelaburan, pindahan teknologi dan lain-lain dengan mengekalkan aspek-aspek ketelusan dan maruah serta kepentingan kebangsaan.

“Malaysia harus berdiri dan diterima di pentas dunia bukan sahaja sebagai sebuah negara yang berkembang, kompetitif, demokratik dan bermaruah,

“tetapi juga sebagai suara moral dunia Islam serta Negara-negara Selatan yang tegas mempertahankan kedaulatan, keadilan, hak asasi manusia dan kemerdekaan semua,” katanya.