Bimbang Insiden Di Sekolah Seluruh Negara Kerap Berlaku

169

KUALA TERENGGANU – Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT) melahirkan rasa dukacita dan kebimbangan mendalam terhadap siri insiden keselamatan pelajar yang semakin kerap berlaku di sekolah-sekolah seluruh negara.

Ketua DMPNT, To’ Puan Hajah Zarani Othman berkata, kejadian tragik yang meragut nyawa dan maruah pelajar jelas menunjukkan sistem keselamatan sekolah sudah rapuh dan memerlukan pembaikan segera.

“Sudah tiba masanya kerajaan berhenti memandang ringan isu keselamatan sekolah. Setiap tragedi ini bukan kes terpencil, tetapi tanda sistem keselamatan kita gagal disemak dengan serius,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, DMPNT amat terkesan dengan pelbagai kes yang dilaporkan sejak kebelakangan ini, termasuk insiden murid Tahun 3 maut akibat terjatuh ke dalam lubang kumbahan di Lenggeng, selain kes buli membabitkan arwah Zara Qairina yang kini dalam proses inkues dan pendakwaan.

“Kes pelajar perempuan di Jelebu yang mati mengejut, serangan seksual berkumpulan di sekolah, malah kes pelajar ditikam rakan baru-baru ini – semuanya cukup menggerunkan. Ibu bapa kini hidup dalam ketakutan,” ujarnya.

Menurut beliau, langkah menyeluruh perlu diambil segera, merangkumi infrastruktur, pengurusan risiko, pendidikan akhlak dan penguatkuasaan di peringkat sekolah.

“Kita mahu audit keselamatan dibuat di semua sekolah. Kawasan berisiko seperti lubang kumbahan, bumbung, stor utiliti dan koridor tinggi mesti dipagar atau ditutup, manhole mesti ada penutup besi berkunci,” katanya lagi.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar CCTV dan pencahayaan dipasang di kawasan ‘blind spot’ seperti tandas dan tangga hujung blok, bersama butang panik di tandas utama.

“Rondaan perlu dilakukan pada waktu kritikal seperti waktu rehat dan selepas sekolah oleh pengawal keselamatan terlatih. Murid bawah 13 tahun pula mesti ada rakan pengiring bila ke tandas atau tempat sunyi,” tambahnya.

Dalam aspek sumber manusia, To’ Puan Zarani menegaskan perlunya saringan latar belakang yang ketat terhadap pengawal keselamatan selain menambah bilangan kaunselor berlesen di sekolah.

“Kita juga mahu diwujudkan Unit Perlindungan Murid di setiap sekolah dengan pegawai wanita sebagai rujukan, serta saluran aduan sulit yang terus ke pentadbir daerah atau pihak berkuasa jika perlu,” jelasnya.

Beliau turut menekankan keperluan memperkenalkan modul Akhlak dan Anti-Buli berasaskan Maqasid Syariah yang mendidik murid tentang nilai memelihara nyawa dan maruah, serta kelas “Kenali Sempadan Badan” bagi meningkatkan kesedaran keselamatan diri.

“Anak-anak adalah amanah Allah dan masa depan negara. Menjaga nyawa dan maruah mereka tanggungjawab semua pihak termasuk ibu bapa, warga sekolah, komuniti dan kerajaan,” katanya sambil menegaskan DMPNT bersedia bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk menjayakan pelan tindakan keselamatan sekolah.