PAS Terengganu Sedia Bantu PN Hadapi PRN Sabah

62

KUALA NERUS— PAS Terengganu menyatakan komitmen untuk membantu rakan-rakan Perikatan Nasional (PN) di Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Setiausaha PAS Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sebaik sahaja pembahagian kerusi di peringkat PN dimuktamadkan, PAS Terengganu akan menghantar petugas bagi membantu kempen di negeri itu.

“Insya-Allah, selepas pembahagian kerusi selesai di peringkat PN, kita akan bersedia menghantar petugas membantu rakan-rakan kita di Sabah yang bertanding di bawah PN,” jelas beliau nyang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri,

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Hari Sayyidatina Aisyah di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al Wathiqu Billah, di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, berdasarkan perkembangan dan isu semasa di Sabah, PN mempunyai peluang cerah untuk memenangi beberapa kerusi pada pilihan raya akan datang.

Beliau turut menambah bahawa prestasi cemerlang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan, menjadi bukti keupayaan PN memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

“Datuk Ali bukan sahaja mendapat pujian daripada kerajaan Sabah, malah turut disanjung rakyat atas khidmat dan kerja kuat beliau. Ini memberi gambaran bahawa PN, khususnya PAS, mampu memberi khidmat terbaik sekiranya diberi peluang,” katanya lagi.