KUALA NERUS – Dua buah rumah di Kampung Paya Lima Amas, Batu Enam, di sini, hangus dalam kebakaran awal pagi, menyebabkan 12 penghuni hilang tempat berteduh namun semuanya selamat.
Kejadian berlaku sekitar jam 6.00 pagi 7 Oktober lalu, apabila api dipercayai berpunca daripada litar pintas peti ais di rumah milik Abdul Halim bin Abd Aziz, 43 tahun, sebelum merebak ke rumah bersebelahan milik Mohd Yusof bin Paksa, 51 tahun.
Ketua Cawangan PAS Paya Lima Amas merangkap AJK MTD Bukit Tunggal, Ibrahim Harun, berkata beliau tiba di lokasi tidak lama selepas kebakaran bermula selepas dimaklumkan oleh penduduk.
“Waktu saya sampai, api baru marak di bahagian dapur rumah Abdul Halim. Belum sempat merebak ke rumah Yusof lagi. Saya bersama penduduk kampung dan tuan rumah cuba sedaya upaya keluarkan barang-barang yang sempat dicapai. Tapi api terlalu cepat, rumah kayu dalam beberapa minit saja terus marak,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, ketika keadaan semakin cemas, adik ipar kepada Abdul Halim, Tengku Mariana Sophia binti Tengku Aziz, bersama dua anak kecil berusia 8 dan 9 tahun, terpaksa terjun keluar melalui tingkap selepas panik dan tidak menjumpai kunci rumah.
“Alhamdulillah, semua selamat. “Tapi waktu tu memang cemas, asap tebal, api makin dekat. Tengku Mariana terpaksa terjun tingkap bersama dua anaknya untuk selamatkan diri. Mereka mengalami sedikit kecederaan ringan,” katanya.
Tambah beliau, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun kedua-dua rumah musnah sepenuhnya. Dua lagi keluarga yang turut menetap di rumah berkenaan tiada di tempat kejadian kerana bermalam di rumah mertua masing-masing.
“Isteri dan anak-anak Mohd Yusof juga sempat keluar lebih awal selepas nampak api mula merebak. Mereka tak sempat selamatkan sebarang barangan, tapi yang penting semua nyawa selamat,” ujarnya.
Ibrahim berkata, anggaran kerugian bagi setiap rumah dianggarkan antara RM300,000 hingga RM400,000, menjadikan jumlah keseluruhan hampir RM800,000.
Beliau turut memaklumkan pihak PAS Bukit Tunggal melalui JPKK Paya Lima Amas segera menggerakkan tindakan bantuan di lokasi termasuk menyelaras urusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), eKasih, dan MAIDAM bagi memastikan keluarga terjejas menerima bantuan segera.
“Selain bantuan tunai, kita bantu juga urusan laporan rasmi kepada pejabat daerah, DUN dan parlimen. Kita sedang cari rumah sewa untuk tempatkan dua keluarga ni sementara waktu,” katanya.
Dalam masa sama, pihak JPKK turut bekerjasama dengan Pejabat Daerah Kuala Nerus bagi menguruskan sisa kebakaran melalui khidmat CASE untuk kerja-kerja perobohan dan pembersihan tapak.
“Tabung sumbangan khas sedang kita sediakan bagi memudahkan orang ramai hulurkan bantuan. Harap masyarakat sama-sama bantu mereka bukan sekadar hilang rumah, tapi seluruh kehidupan mereka musnah dalam sekelip mata,” tambah Ibrahim dengan nada sebak.
Dalam pada itu katanya, sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan kewangan boleh disalurkan ke akaun RHB Bank, no akaun : 11306160115334 di atas namanya Ibrahin Harun sebagai pemegang amanah.