Hari Sayyidatina Aisyah; Bukti Kerajaan PAS Serius Jadikan Wanita Kompeten Dan Berdaya Saing

97

KUALA TERENGGANU – Penganjuran Hari Sayyidatina Aisyah merupakan bukti keseriusan Kerajaan PAS Terengganu dalam melahirkan wanita yang kompeten dan berdaya saing di masa hadapan.

Timbalan Ketua Muslimat PAS Terengganu, Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata di negeri Terengganu, wanita memainkan peranan besar dalam pelbagai aspek termasuk dalam bidang pendidikan, ekonomi, sosial dan dakwah.

“Menurut bancian penduduk 2020, hampir 50% daripada 1.2 juta penduduk Terengganu adalah wanita dan majoritinya terlibat aktif sebagai suri rumah, usahawan mikro, pendidik serta aktivis komuniti,

“Namun, ramai di kalangan mereka masih menghadapi cabaran daripada segi keyakinan diri, akses kepada maklumat agama dan sokongan moral,” jelasnya.

Beliau yang juga Ketua Muslimat PAS Kuala Nerus berkata demikian ketika berucap menyampaikan ucapan alu-aluan sempena pelancaran Hari Sayidatina Aisyah di sini, hari ini.

Oleh itu, katanya, program yang masuk kali kedua penganjuran itu adalah sebagai platform pengupayaan dengan pendekatan pendidikan, motivasi dan inspirasi berteraskan tokoh wanita Islam.

“Fokus pelaksanaan program ini adalah untuk meningkatkan kefahaman masyarakat khususnya wanita dan belia terhadap peranan wanita dalam pembangunan ummah,

” meningkatkan kesedaran wanita tentang peranan dan kepimpinan dalam keluarga dan masyarakat, mewujudkan ruang interaksi dan perkongsian ilmu sesama wanita serta melahirkan ikon-ikon wanita Terengganu dalam pelbagai bidang dan sektor penting dalam kerajaan negeri,” terangnya.