UMNO Terengganu Jangan Hipokrit Campur Tangan Urusan GLC

85
Hamidi Jusoh

KUALA NERUS – PAS Kuala Nerus menegur tindakan UMNO Terengganu yang didakwa bersikap hipokrit dan cuba mencampuri urusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, susulan kenyataan media Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu (BPUNT) bertarikh hari ini.

Ketua Penerangan PAS Kawasan Kuala Nerus, Haji Hamidi Jusoh, berkata kenyataan UMNO tersebut bukan sahaja mengelirukan malah penuh dengan percanggahan yang membuktikan sikap tidak konsisten parti berkenaan.

“UMNO Terengganu menasihatkan agar isu ini tidak dipolitikkan, tetapi dalam masa yang sama mereka sendiri mengeluarkan kenyataan berbaur politik dengan menuding kelemahan kepada kerajaan negeri. Ini satu kontradiksi yang jelas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, tindakan UMNO yang seolah-olah mengeluarkan kenyataan bagi pihak ahli lembaga pengarah GLC turut menunjukkan campur tangan politik secara terang-terangan.

“Adakah UMNO kini bertindak sebagai jurucakap korporat kepada ahli mereka dalam GLC? Jika benar mereka mahu isu ini ditangani secara profesional, sepatutnya biarkan pengurusan syarikat mengurus mengikut tatacara korporat,” katanya lagi.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri pimpinan PAS sentiasa berpegang kepada prinsip tadbir urus yang baik, telus dan berintegriti.

“Sebarang siasatan terhadap salah laku dalam GLC perlu dihormati dan tidak diganggu oleh campur tangan politik. Biarlah proses berjalan dengan adil,” tambahnya.

Haji Hamidi turut menasihatkan UMNO Terengganu supaya bermuhasabah diri dan memberi kerjasama kepada siasatan yang sedang berjalan, bukannya terus mempolitikkan isu dalaman syarikat