Tolak Trump Yang Sebenarnya, Selari Maqasid Syariah

202

KUALA TERENGGANU – Menolak kunjungan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ke Malaysia tidak bercanggah dengan maqasid syariah, sebaliknya selari dengan prinsip Islam dalam mempertahankan maruah umat.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT), Ustaz Hamdi Harun berkata, maqasid syariah yang paling utama ialah menjaga agama (hifz al-din), menjaga nyawa (hifz al-nafs) dan menjaga maruah umat (hifz al-‘ird).

“Trump adalah individu yang terkenal sebagai pembela Zionis dan terlibat secara langsung dalam dasar menindas umat Islam, khususnya Palestin. Membenarkan kunjungannya bukanlah maslahat, bahkan menggadaikan prinsip Islam itu sendiri,” tegasnya.

Beliau berkata, Islam mengajar bahawa menolak mudarat lebih utama daripada mengejar keuntungan, justeru darah dan maruah umat tidak boleh ditukar ganti dengan alasan pelaburan atau hubungan diplomatik.

“Jika benar mahu berdiplomasi, ia mestilah dilakukan dari posisi bermaruah dan berprinsip, bukan tunduk kepada tekanan politik pihak luar,” ujarnya melalui satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, menolak Trump bukan bererti menolak keamanan atau kemajuan, bahkan ia adalah satu bentuk ketegasan syariah dalam mempertahankan hak serta maruah umat Islam, sesuai dengan maqasid yang wajib dipelihara.