PASTI Besut Juara Keseluruhan Alam Ria 2025

188

KUALA TERENGGANU – PASTI Besut muncul juara keseluruhan Pertandingan Alam Ria PASTI Negeri Terengganu 2025 selepas menewaskan juara bertahan Dungun dalam acara yang berlangsung di Batu Tujuh, Dungun.

Pengerusi PASTI Besut, Muhammad Hilmi Mohd Hamdan menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil pengorbanan dan kesungguhan guru, jurulatih serta sokongan padu ibu bapa dan masyarakat.

“Bersyukur dengan kemenangan ini. Segala kejayaan ini adalah anugerah Allah dan setimpal dengan usaha para guru serta jurulatih yang bertungkus lumus berbulan-bulan melatih anak-anak PASTI.

“Ibu bapa juga sangat memberi kerjasama, seolah-olah menyerahkan anak mereka sepenuhnya untuk digilap,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata faktor utama kejayaan Besut ialah latihan intensif setiap hari, kefahaman jurulatih terhadap format pertandingan dan komitmen luar biasa guru walaupun berkhidmat dengan elaun kecil.

“Dari segi teknikal, kami mempunyai tempoh sebulan untuk berlatih kerana pertandingan peringkat kawasan telah selesai lebih awal.

“Tempoh sebulan itu sudah memadai untuk melatih kepetahan, penguasaan bahasa tubuh dan keyakinan para peserta, ditambah pula dengan komitmen luar biasa daripada guru serta jurulatih,” ujar beliau yang juga NJaib Ketua Pemuda PAS Besut.

Muhammad Hilmi Mohd Hamdan

Selain itu, katanya, antara rahsia kekuatan ialah Guru PASTI tidak melihat kerja mereka sebagai bisnes dunia, tetapi sebagai perjuangan akhirat.

“PASTI seperti diketahui tidak mendapat sebarang dana dari kementerian dan agensi kerajaan, banyak bergantung pada sumbangan awam dan yuran sahaja, tetapi mampu menjadi pusat pra sekolah pilihan utama ibu bapa,” katanya.

Tambah beliau, sejak 2014, PASTI Besut pernah meraih gelaran juara keseluruhan pada 2017 dan 2021 sebelum kembali menguasai takhta pada edisi 2025.

Antara kejayaan dicatatkan ialah johan sajak perempuan, pidato perempuan, bercerita lelaki dan hafazan perempuan, diikuti beberapa gelaran naib johan, tempat ketiga serta saguhati.

Kini, peserta johan akan mewakili Terengganu ke Pertandingan Alam Ria PASTI Malaysia yang dijadual berlangsung di Bukit Merah, Perak pada 10 hingga 11 Oktober ini.

“Terima kasih PASTI Kawasan Dungun atas keberjayaan jadi tuan rumah kali ini.

“Kita jumpa lagi di Besut, bakal tuan rumah Alam Ria PASTI Terengganu tahun 2026 akan datang,” tambah beliau.

Sementara itu, kata Hilmi, PASTI Besut kini mempunyai 30 cawangan dengan 1,400 murid dan 110 guru.