KUALA TERENGGANU – Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil mendakwa isu pengusiran penduduk Kampung Sungai Baru berpunca daripada tindakan kerajaan Madani pada tahun 2024 yang menyerahkan geran tanah kepada pemaju, bukannya ketika era pemerintahan Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada ceramah Malam Kemuncak Muktamar PAS Pusat Kali Ke-71 yang berlangsung di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, kelmarin.
Menurut Isham, tuduhan bahawa PN bertanggungjawab adalah tidak tepat kerana semasa Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah diwartakan pada tahun 2021, hak milik tanah masih kekal di bawah Pejabat Tanah dan Galian (PTG).
“Apabila ‘title’ tanah masih di tangan kerajaan, kerajaan berhak menentukan sama ada mahu mengembalikannya kepada pemilik asal atau membangunkannya sendiri. Namun pada April 2024, geran diserahkan terus kepada pemaju. Selepas itu kerajaan tidak lagi mempunyai kuasa untuk campur tangan,” katanya di hadapan ribuan hadirin.
Isham mendakwa, tindakan menyerahkan geran itu membuka ruang kepada pemaju untuk mendapatkan perintah mahkamah di bawah Order 89, sekali gus mengklasifikasikan penduduk sebagai setinggan dan membolehkan mereka diusir.
“Kalau geran masih di bawah PTG, penduduk tidak boleh diusir. Tetapi bila geran sudah atas nama pemaju, mahkamah boleh keluarkan perintah pengusiran,” ujarnya lagi.
Beliau turut mempersoalkan kerajaan semasa mengenai pihak yang meluluskan penyerahan geran tersebut pada April 2024, sambil menegaskan Perdana Menteri dan menteri yang terlibat perlu bertanggungjawab.
“Puak-puak ini asyik salahkan PN, tetapi hakikatnya pada 2024 siapa yang jadi kerajaan? Siapa yang Perdana Menteri? Kenapa geran boleh berpindah kepada pemaju pada masa itu?” soal beliau disambut sorakan hadirin.
Isham menambah, tuduhan terhadap PN adalah cubaan mengalih perhatian daripada kegagalan kerajaan Perpaduan menguruskan isu tanah Kampung Sungai Baru secara adil.
Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru terus mencetuskan kontroversi apabila penduduk mendakwa mereka teraniaya akibat pembangunan semula kawasan berkenaan yang melibatkan pemaju swasta.