ALOR SETAR – Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azzamudden menegaskan Pemuda PAS tidak boleh sekadar menjadi reaktif terhadap serangan politik lawan, sebaliknya perlu tampil sebagai pencipta arus dan penentu wacana dalam naratif negara.
Beliau berkata, peperangan politik hari ini bukan lagi dengan senjata, tetapi dengan maklumat.
“Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) telah membuktikan perkara itu apabila nama PAS dan Perikatan Nasional (PN) disebut lebih empat bilion kali di media sosial, sekali gus mengejutkan dunia antarabangsa apabila PAS mampu mendominasi platform seperti TikTok yang begitu dekat dengan anak muda.
“Ini bukti bahawa jika kita bijak menguasai komunikasi, kita mampu menggoncang politik negara,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia kali ke-66, hari ini.
Afnan menegaskan, dalam tempoh setahun bermula Ogos 2024 hingga Ogos 2025, Pemuda PAS telah menerbitkan lebih 2,358 konten rasmi serta menganjurkan lebih 10 himpunan rakyat, termasuk Himpunan Turun Anwar.
“Katanya, usaha ini menjadikan media sosial bukan lagi sekadar ruang hiburan, tetapi medan dakwah, tarbiyah dan perjuangan yang membawa kesan nyata kepada masyarakat.
Namun, beliau mengingatkan bahawa medan media sosial juga sarat dengan fitnah dan propaganda yang cuba menakutkan rakyat terhadap Islam serta PAS dengan pelbagai label negatif seperti ekstrem dan jumud.
“Pemuda PAS mesti terus ke depan. Jangan hanya reaktif menjawab serangan. Jadilah pencipta arus. Jadilah penentu wacana. Jadilah pelakar masa depan naratif negara,” tegasnya.
Beliau mencontohkan strategi Rasulullah SAW ketika mengutus Mus‘ab bin Umair ke Madinah bukan sebagai tentera, tetapi sebagai komunikator dan pendakwah yang fasih menyampaikan mesej Islam sehingga berjaya mengubah masyarakat.
“Ini tugas kita hari ini. Kita adalah Mus‘ab moden, yang membawa mesej Islam dalam bentuk segar, kreatif, mudah difahami, menyentuh pelbagai dimensi masyarakat tetapi tetap teguh pada prinsip,” ujarnya.




























