KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) perlu menubuhkan sebuah ‘Front Nasional Pemuda’ yang menghimpunkan anak muda rentas parti, NGO, komuniti dan individu berpengaruh dalam usaha melebarkan sokongan kalangan anak muda kepada parti itu.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Dungun, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fuzi berkata, platform itu akan menjadi ruang memperjuangkan isu-isu belia secara kolektif meliputi kos sara hidup, pendidikan, hingga peluang pekerjaan.
Katanya, apa yang penting adalah memastikan mesej keadilan dan amanah dapat disampaikan melampaui sempadan politik tradisi.
“Selain itu, pemuda perlu mengerakkan siri ‘Meet Pemuda PAS’, iaitu program jelajah interaktif di kampus, kafe, pusat komuniti dan ruang anak muda.
“Melalui pendekatan townhall dan dialog dua hala,anak muda boleh berinteraksi terus dengan pimpinan pemuda PAS, memberi pandangan dan melontarkan kritikan terbuka,”ujarnya ketika dihubungi hari ini, mengulas mengenai pencalonannya beliau dipilih untuk bertanding dalam Muktamar DPPM pada kali ini.
Tambah beliau, program ‘MyHackathon Pemuda’ pula akan menjadi platform untuk professional muda dan mahasiswa menyumbang idea serta solusi kreatif terhadap cabaran negara.
“Hasilnya bukan hanya retorik, tetapi boleh diterjemahkan kepada dasar dan agenda pembangunan ‘Malaysia Sejahtera’.
“Dengan kombinasi ketiga-tiga agenda ini, saya yakin Pemuda PAS akan dilihat sebagai Gerakan Belia Islam yang inklusif, segara dan progresif dekat dengan reality anak muda, tetapi tetap teguh dengan prinsip perjuangan,” tambah beliau.




























