Subsidi Beras Putih Tempatan Hanya Langkah Sementara, Bekalan Hilang Semula Dari Pasaran

431

KUALA TERENGGANU – Program Subsidi Beras Putih Tempatan (BPT) bernilai RM150 juta yang diumumkan kerajaan pada Februari lalu hanya bersifat sementara dan tidak menyelesaikan masalah asas industri padi dan beras negara.

Menurut Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat , Dato’ Dr. Azman Ibrahim, walaupun subsidi tersebut berjaya menstabilkan harga BPT pada RM2.60 sekilogram bagi tempoh enam bulan, manfaat sebenar hanya diperoleh pengilang, pembungkus dan pengedar.

“Subsidi Beras Putih Tempatan (BPT) sebanyak RM150 juta diumumkan kerajaan pada Februari 2025 untuk menstabilkan harga BPT pada RM2.60/kg bagi tempoh 6 bulan yang berakhir pada 31 Ogos 2025.

“Petani dan pesawah tidak menerima sebarang manfaat langsung daripada subsidi ini, manakala pengguna hanya menikmati sementara harga terkawal sepanjang Mac hingga Ogos 2025,” jelasnya dalam kenyataan media, semalam.


Bagaimanapun, selepas program tamat pada 31 Ogos lalu, pembekal dan pengedar kembali berdepan dilema kerana tidak mampu mengekalkan harga tanpa sokongan kerajaan, menyebabkan penghantaran terhenti dan BPT hilang semula dari pasaran.

“Tanpa subsidi kerajaan, mereka tak mampu nak bekalkan BPT pada harga runcit RM2.60/kilogram sebagaimana dalam tempoh 6 bulan lepas.

“Kerana itulah penghantaran terhenti dan BPT mula menghilang semula dari pasaran. Bukannya beras tempatan tak laku,” tegas Dr Azman.

Justeru itu, beliau menegaskan bahawa situasi ini menjadi indikator jelas bahawa subsidi RM150 juta hanyalah langkah sementara dan bukannya penyelesaian konkrit terhadap isu bekalan serta harga beras dalam negara.