DUNGUN – PAS kini telah mendapat sokongan besar rakyat apabila menerima lebih satu juta ahli, sekali gus membuktikan parti itu semakin kukuh dan meraih kepercayaan rakyat.
Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil menjelaskan, Kempen PAS Pilihanku yang dilancarkan pada 2017 di Shah Alam dan setelah 104 bulan iaitu Januari 2017 sehingga Ogos 2025 terus menunjukkan hasil yang memberangsangkan apabila berjaya menambah keahlian seramai 374,000 orang.
“Selepas melalui proses pemutihan keahlian yang lebih telus dan sistematik, pada tahun 2017, keahlian rasmi PAS hanya sekitar 710,000 orang setelah ditolak ahli yang meninggal dunia, keluar part dan tidak diketahui keberadaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen PAS Pilihanku 4.0 Peringkat DUN Rantau Abang di Dewan Al-Husna, Darul Ansor , Kampung Alor Mak Bah,di sini pada Sabtu, 6 Disember.


Program tersebut turut dihadiri Timbalan dan Naib Yang Dipertua PAS Dungun, Ustaz Azman Shafawi Abdul Rani dan Wan Hapandi Wan Nik serta Ahli JawatankuasaPAS Dungun.
Menurutnya, dengan purata 3,200 orang ahli baharu setiap bulan, kempen berkenaan disifatkan satu kejayaan besar bagi sebuah parti politik di Malaysia.
“Terengganu satu-satunya negeri yang kelapan-lapan kawasannya mencatat keahlian melebihi 20,000 orang setiap kawasan, ” ujarnya.
Sementara itu, katanya, suasana dalaman parti turut menunjukkan kestabilan apabila jawatan tertinggi PAS Pusat termasuk Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan kali ini.


“Pertandingan hanya berlaku bagi jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dengan 30 calon merebut 18 kerusi, namun berlangsung dalam suasana harmoni.
“Bagi Dewan Ulamak, meskipun semua jawatan tertinggi dimenangi tanpa bertanding, proses pemilihan pada peringkat awal memerlukan usaha tambahan kerana ada calon menarik diri, sekali gus memaksa kepimpinan memujuk semula calon-calon berkenaan bagi mencukupkan barisan sekurang-kurangnya 12 orang,” jelasnya.
Manakala, tambahnya lagi, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat pula menyaksikan tiada pertandingan bagi jawatan tertinggi, menzahirkan kesepakatan yang utuh dalam kalangan ahli.
“PAS menegaskan bahawa perkembangan ini membuktikan parti terus progresif, dinamik dan stabil, sekali gus memberi keyakinan bahawa ia bukan sahaja berupaya memimpin negeri-negeri pantai timur seperti Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis, malah turut bersedia untuk menerajui pentadbiran negara, ” katanya
Majlis diakhiri dengan gimik pelancaran dan agihan kain rentang Teguh Memimpin kepada 28 orang ketua PAS Cawangan dalam DUN Rantau Abang.




























