KUALA TERENGGANU – Wanita muda perlu memainkan peranan lebih bertanggungjawab dalam membentuk ruang digital dengan menjadi penapis maklumat, bukan sekadar pengguna media sosial.
Pengarah Ameerah Terengganu, Ustazah Sumaiyah Zakaria berkata, cabaran patriotisme generasi muda hari ini bukan hanya berkaitan mempertahankan negara secara fizikal, tetapi turut melibatkan usaha melindungi pemikiran masyarakat daripada ancaman maklumat palsu, kebencian dan manipulasi.
“Wanita muda perlu menggunakan media sosial secara bijak dan bertanggungjawab dengan menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi.
“Pada masa sama, elakkan buli siber, fitnah dan kandungan yang boleh memecahbelahkan masyarakat serta gunakan media sosial untuk menyebarkan perkara yang memberi manfaat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini mengulas pendekatan yang perlu diterapkan dalam membentuk patriotisme generasi wanita muda dalam era media sosial sempena Kemerdekaan.
Sumaiyah berkata, kebebasan bersuara perlu disertai kesedaran terhadap tanggungjawab dan kesan daripada kandungan yang disebarkan kepada masyarakat.
Katanya, cinta kepada negara tidak seharusnya hanya dizahirkan melalui simbol seperti mengibarkan Jalur Gemilang, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui sikap ketika berkomunikasi, berbeza pandangan dan menjaga keharmonian masyarakat.
“Patriotisme wanita muda perlu bergerak daripada emosi kepada tindakan, daripada simbol kepada sumbangan.
“Generasi yang benar-benar menghargai kemerdekaan ialah generasi yang menggunakan kebebasan untuk membina, bukan merosakkan,” ujarnya.
Beliau berkata, media sosial seharusnya dimanfaatkan sebagai ruang untuk memperkukuh ilmu, menyebarkan mesej positif dam membina masyarakat yang lebih matang dalam berhadapan dengan perbezaan pandangan.
Sehubungan itu, katanya, wanita muda mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan perkembangan teknologi dan media sosial tidak menjadi ruang yang mencetuskan perpecahan, sebaliknya menjadi medium menyumbang kepada pembangunan negara.
Sementara itu, wanita muda perlu tampil lebih berani mengambil peranan dalam kepimpinan dan proses membuat keputusan bagi memastikan suara serta perspektif generasi mereka turut membentuk masa depan negara.
Katanya, wanita muda tidak seharusnya hanya menjadi penerima dasar, sebaliknya perlu diberi ruang untuk menjadi pembentuk dasar dan pembuat keputusan dalam pelbagai bidang.
Menurutnya, pendidikan juga perlu melangkaui pencapaian akademik semata-mata dengan melahirkan wanita yang mampu berfikir secara kritis, menganalisis masalah dan menawarkan penyelesaian kepada cabaran masyarakat.
“Wanita muda perlu meningkatkan ilmu, kemahiran dan keyakinan diri serta berani menyuarakan pandangan dan mengambil peluang untuk memimpin.
“Jika suara wanita muda tidak dibawa ke meja pembuat keputusan hari ini, kita sebenarnya sedang membentuk masa depan negara tanpa mengambil kira perspektif sebahagian besar masyarakat,” katanya.
Sumaiyah turut menegaskan bahawa kepimpinan wanita perlu dinilai berdasarkan keupayaan, kompetensi dan integriti, bukannya stereotaip berdasarkan gender.
Mengulas aspirasi Malaysia untuk generasi wanita muda dalam tempoh 20 tahun akan datang, Sumaiyah berkata beliau mahu melihat sebuah negara yang lebih maju, aman dan sejahtera, selain menyediakan pendidikan, peluang pekerjaan serta ruang kepimpinan yang lebih luas kepada wanita.
Katanya, kemajuan negara tidak wajar diukur hanya melalui pembangunan fizikal, teknologi dan pertumbuhan ekonomi, sebaliknya turut mengambil kira kualiti manusia, integriti, akhlak, keadilan dan kesejahteraan sosial.
Pada masa sama, beliau berkata antara isu yang perlu diberi perhatian lebih serius oleh kerajaan ialah pendidikan, peluang pekerjaan, kos sara hidup, kemahiran meningkatkan pendapatan serta keselamatan dan kesejahteraan wanita.
“Kerajaan perlu mengubah pendekatan daripada ‘membantu anak muda’ kepada ‘memperkasa anak muda’.
“Anak muda tidak sepatutnya hanya dilihat sebagai kumpulan yang memerlukan bantuan, tetapi sebagai aset dan rakan strategik dalam pembangunan negara,” tambah beliau.



























