Oleh : Fatimah Din Foto : Akhimullah Azis
MARANG – Wanita solehah perlu terus menuntut ilmu kerana mereka merupakan tonggak keluarga dan madrasah pertama dalam membentuk generasi hebat.
Pendakwah bebas, Ustazah Asmak Husin berkata wanita solehah tidak seharusnya berhenti belajar kerana ilmu merupakan asas penting untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan memastikan setiap langkah kehidupan berada dalam landasan syariat.
“Tuntutan syariat bukan hanya berkaitan ibadah khusus, bahkan meliputi seluruh kehidupan wanita termasuk urusan kelahiran, pengurusan rumah tangga, hubungan dengan jiran serta pendidikan anak-anak,
“Bila di tengah-tengah kita berusaha ikut syariat Allah, kita mati, inilah yang dinamakan mati syahid,” katanya.
Ustazah Asmak berkata demikian ketika menyampaikan Motivasi Pagi sempena Program Indahnya Hidup Bersyariat DUN Pengkalan Berangan di hadapan pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan, di sini pada 27 Ogos.
Menurut beliau, wanita mempunyai peranan besar dalam membentuk modal insan kerana ibu yang hebat mampu melahirkan generasi yang hebat serta mempunyai kekuatan agama, akhlak dan jati diri.
“Jihad terbesar seorang wanita ialah melahirkan generasi yang mampu membentuk modal insan menjadi generasi terbaik. Apabila wanita itu hebat, keluarga dan masyarakat turut menjadi hebat,” ujarnya.


Katanya, kekuatan sesebuah keluarga tidak hanya bergantung kepada aspek material, sebaliknya keberkatan Allah SWT menjadi asas utama dalam membina rumah tangga yang kukuh.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan pandangan bahawa memiliki ramai anak semestinya membawa kesusahan dan kemiskinan sehingga kelahiran perlu disekat sejak awal sebagai pemikiran yang perlu diperbetulkan.
“Begitu juga anggapan bahawa tidak berkahwin merupakan jalan untuk mendapatkan kebebasan kerana hakikatnya institusi perkahwinan yang dibina atas dasar iman dan syariat mampu menjadi medan membina kehidupan yang lebih diberkati.
“Jika masyarakat nak buat program Indahnya Hidup Bersyariat untuk bentuk pemuda, pemudi dan muslimat, ia tidak akan menjadi jika dalam rumah itu sendiri tidak ada keberkatan kerana hidup tanpa keberkatan Allah tidak akan ke mana,” tegasnya.
Justeru, beliau menegaskan pembentukan generasi yang memahami dan menghayati syariat mesti bermula dari rumah, dengan wanita sebagai antara tonggak utama yang mencorakkan suasana keluarga.
“Keluarga yang dipandu dengan ilmu, iman dan syariat, bukan sahaja melahirkan anak-anak yang baik, malah menjadi asas kepada pembentukan masyarakat yang kuat, berakhlak dan mendapat keberkatan Allah SWT,” ujarnya lagi.





























