Usahawan Kayu Terima Bantuan Peralatan DUTE 2025

20

MARANG – Seorang pengusaha industri berasaskan kayu di Kampung Lubuk Pandan menerima suntikan semangat baharu apabila terpilih menerima bantuan peralatan menerusi Skim Dana Usahawan Terengganu (DUTE) 2025 anjuran Kerajaan PAS Terengganu.

Penyerahan bantuan tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan yang merangkap Setiausaha PAS Marang, YB Ustaz Sulaiman Sulong, bertujuan menyokong pengembangan operasi perusahaan mikro tempatan.

Ustaz Sulaiman berkata, inisiatif ini merupakan manifestasi sokongan kerajaan negeri terhadap golongan belia yang mempunyai kemahiran teknikal dan berani mengusahakan perniagaan sendiri.

“Usaha dan kesungguhan saudara Ahmad Tarmizi Mohd diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai belia Terengganu untuk menceburi bidang keusahawanan, khususnya dalam industri berasaskan kemahiran dan kraf tempatan yang mempunyai potensi besar,” katanya selepas menyampaikan sumbangan tersebut di kediaman penerima, baru-baru ini.

Penerima bantuan, Ahmad Tarmizi, 28, memulakan perniagaan secara kecil-kecilan di bengkel tepi rumah sejak tahun 2018.

Beliau sebelum ini mengambil inisiatif menimba pengalaman bekerja dengan pihak lain bagi menguasai selok-belok pengurusan industri perkayuan, menyedari cabaran sektor tersebut yang menuntut kos peralatan yang tinggi serta penggunaan tenaga fizikal yang intensif.

Bantuan peralatan yang disalurkan melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu ini bertujuan meringankan beban kos modal serta meningkatkan kapasiti pengeluaran usahawan terpilih.

Ia sejajar dengan objektif DUTE untuk memastikan kelangsungan perniagaan golongan belia di peringkat akar umbi agar lebih kompetitif.

Ahmad Tarmizi turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri dan YPU atas keprihatinan menyalurkan kelengkapan yang diperlukan, yang disifatkan sebagai pendorong utama untuk beliau terus bertahan dan mengembangkan pasaran produknya dalam industri yang mencabar ini.